BriSK Kolej Komuniti Tangga Batu Jayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Taman Laut Negeri Melaka

KOLEJ KOMUNITI TANGGA BATU
23 May 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, BERITA, Kolaborasi, Komuniti

Pulau Besar Melaka, 20 Mei 2025 – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) merupakan pendekatan strategik yang menghubungkan peranan institusi atau organisasi dengan pembangunan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar. Dalam konteks pendidikan tinggi, CSR menjadi medium penting untuk memupuk kesedaran sivik, keprihatinan sosial serta kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Sejajar dengan aspirasi tersebut, Briged Sukarelawan Kolej Komuniti Tangga Batu (BriSK KKTB) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan Redtma Recreation Sports Centre telah menyertai Program CSR Taman Laut Negeri Melaka yang berlangsung pada 20 Mei 2025 bertempat di Pulau Dodol, Pulau Nangka dan Pulau Besar.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 6 orang pelajar dan 11 pegawai KKTB yang bertindak sebagai sukarelawan dalam pelbagai aktiviti pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar.

Antara objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada amalan pemuliharaan marin dan kaitannya dengan sektor pelancongan, menyemai rasa tanggungjawab sosial serta semangat kesukarelawanan, membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan melalui pengalaman lapangan, serta menyokong usaha kerajaan dalam menjadikan alam sekitar sebagai elemen penting pembangunan mampan negara.

Sepanjang program ini, para peserta terlibat secara langsung dalam aktiviti promosi Taman Laut Negeri Melaka, pembersihan kawasan pulau, dan sesi taklimat kesedaran pemuliharaan lokasi konservasi. Penglibatan ini memberi ruang kepada pelajar dan staf KKTB untuk memahami secara mendalam cabaran serta strategi dalam memulihara ekosistem marin yang menjadi aset pelancongan negeri Melaka.

Menurut Penyelaras Program, Puan Nur Hazirah binti Saliman, pengalaman ini telah membuka minda pelajar terhadap kepentingan pemuliharaan, di samping memantapkan kefahaman mereka tentang peranan sebagai warga beretika dan berpengetahuan.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Tangga Batu, Encik Mohd Yusof bin Tawang, menyifatkan penglibatan pelajar dalam program seperti ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang.

“Kami percaya bahawa pembangunan sahsiah pelajar tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, malah melalui pengalaman lapangan yang mencabar dan bermakna seperti ini,” ujar beliau.

Tuntasnya program ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah membentuk generasi muda yang prihatin, beretika dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara. Ia turut membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan organisasi swasta mampu melahirkan pelajar yang holistik, bercirikan global dan berdaya saing menghadapi cabaran masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti