Briskwalk Merdeka ke-68 : Pelajar dan kakitangan kukuhkan semangat kebangsaan

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
02 September 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA, Utusan Sarawak

Kuching, 29 Ogos – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Kolej Komuniti Kuching telah melaksanakan program Briskwalk Merdeka anjuran bersama Unit Pembangunan Pelajar (HEP) dan Unit Sukan yang berlangsung di Pangkalan Sapi, tebingan sungai Kuching, di sini, semalam.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 150 orang pelajar dan kakitangan Kolej Komuniti Kuching yang bersama-sama menyusuri perjalanan sejauh 2.5 kilometer merentasi jambatan ikonik Darul Hana dalam suasana penuh semangat patriotik.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw bahawa program seumpama ini bukan sahaja menjadi wadah untuk merapatkan perpaduan antara pelajar dan kakitangan yang berbilang bangsa serta agama, malah turut menyemai rasa cintakan negara.

Beliau menekankan bahawa semangat kemerdekaan harus terus disemarakkan dengan menghargai pengorbanan pejuang terdahulu yang telah berjuang demi mencapai kebebasan tanah air.

Selain aktiviti berjalan kaki, pelbagai pengisian menarik turut diadakan bagi memeriahkan suasana seperti kuiz Hari Kemerdekaan dan aktiviti menyambung lagu-lagu patriotik. Aktiviti tersebut bukan sahaja menambah pengetahuan peserta mengenai sejarah negara, malah mengeratkan hubungan sesama warga kolej melalui kerjasama dan semangat kekitaan.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Timbalan Pengarah Akademik (TPA), Nurul Hidayah Yussof yang turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kolej menganjurkan aktiviti berunsurkan kecergasan fizikal, kebersamaan, serta nilai patriotisme.

Program yang diketuai oleh Pegawai Pembangunan Pelajar, Jefferyson Adam Henry Adam ini diakhiri dengan laungan merdeka beramai-ramai sebagai simbolik kesepakatan dan semangat kebangsaan yang utuh. Kehadiran pelajar dan staf dengan semangat yang tinggi membuktikan bahawa generasi muda sentiasa bersedia meneruskan legasi perjuangan untuk memelihara keamanan dan kemerdekaan negara.

(Kredit kepada wartawan Cik Amanda daripada Akhbar Tempatan Utusan Sarawak Online)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti