Civil Engineering Expo 2024 (CivEx’24) : Pemenang pertandingan sempena CivEx 24 terima hadiah Goldbar

POLITEKNIK SULTAN AZLAN SHAH
11 September 2024
Umum

Behrang, 5 September 2024 – Umpama rezeki terpijak apabila pasukan yang memenangi tempat pertama telah menerima hadiah berupa Goldbar seberat 0.25g bagi setiap pemenang dan wang tunai serta hadiah iringan lain dalam pertandingan sempena Program Civil Engineering Expo 2024 (CivEx’24) anjuran Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dengan kerjasama Jawatan Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Negeri Perak yang berlangsung pada 2 hingga 5 September 2024 bertempat di Politeknik Sultan Azlan Shah.

Pertandingan Popsicle Water Tank Challenge bagi kategori IPT/POLYCC telah dimenangi oleh pasukan tuan rumah iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah dan bagi kategori  Sekolah Kebangsaan pula dimenangi oleh SK Bandar Behrang 2020. Manakala bagi pertandingan CivEx Race kategori Sekolah Menengah telah dimenangi oleh SMK Proton City dan kategori IPT/POLYCC telah dimenangi oleh Politeknik Sultan Azlan Shah. Hadiah pertandingan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah PSAS, Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Negeri Perak, Yang Berhormat Tuan Khairudin Abu Hanipah. Dalam Majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000.00 kepada PSAS dan sijil penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam pameran sepanjang program ini berlangsung.

Program ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2017 dengan matlamat untuk memberikan platform yang inklusif bagi mempromosikan bidang Kejuruteraan Awam kepada industri dan komuniti setempat. Idea penganjuran program ini muncul daripada keperluan untuk menghubungkan para profesional, pelajar, dan komuniti setempat dalam satu acara yang tidak hanya memaparkan pencapaian industri tetapi juga memberi peluang kepada semua pihak untuk belajar dan berkongsi pengetahuan.

Program CivEx ini telah berkembang dari tahun ke tahun dan telah menyaksikan penambahan pelbagai aktiviti yang meliputi pameran teknologi terkini, ceramah daripada pakar industri, bengkel interaktif, dan pertandingan yang mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam bidang Kejuruteraan Awam. Usaha ini tidak hanya bertujuan untuk mempamerkan hasil kerja, tetapi juga untuk merangsang minat dan semangat dalam kalangan pelajar dan juga para pengunjung yang hadir.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti