ComTTEx’23 pamer produk inovasi politeknik dan kolej komuniti

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
30 March 2023
Penyelidikan dan Inovasi

30 Mac 2023, Shah Alam – Sebanyak 25 produk inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan hasil ciptaan pelajar dan pensyarah politeknik dan kolej komuniti seluruh negara dipamerkan dalam Commercial & Technology Transfer Expo PolyCC 2023 (ComTTEx’23).

Bertemakan ‘The Big Idea’, Fasa 1 ComTTEx’23 berlangsung dari 28 Mac hingga 28 Ogos 2023 bertempat di Innovation and Commercialization Centre (ICC) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Pengarah PSA Dr. Norhayati Zakaria dalam ucapannya berkata, ICC adalah platform untuk penyelidik mengembangkan produk kepada peringkat yang lebih besar seterusnya memperkukuh budaya kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan untuk disuntik dalam sistem pendidikan bagi penghasilan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

“Produk-produk yang dipamerkan ini telah mempunyai rekod komersial dalam pasaran tempatan. Antaranya kasut kesihatan VSHOE hasil penyelidikan pelajar dan pensyarah PSA yang juga merupakan antara 10 penerima Geran Pembangunan Komersial,”

Sementara itu, lima produk lagi yang turut digazetkan dalam Pencapaian 100 Hari Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti iaitu Circuit Assemble Aids dari Politeknik Ungku Omar, Sambal Teruna Berapi dari Kolej Komuniti Sungai Petani, Che Rasa keluaran Kolej Komuniti Chenderoh, Rendang Hitam Pucuk Kayu dari Kolej Komuniti Selayang dan Tepung Serbaguna Uniqverse dari Kolej Komuniti Pasir Mas.

Majlis Perasmian ComTTEx’23 disempurnakan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Penyelidikan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Riam A/P Chau Mai mewakili Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Ts. Haji Muhamad Rumzi Mamat. Turut hadir pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti serta Ketua Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan Zon Selangor dan Kuala Lumpur.

Terdahulu, satu taklimat berkaitan penubuhan ICC disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Roseman Mat Jidin@Jidin bagi memberi input yang dapat membantu politeknik dan kolej komuniti melaksanakan aktiviti penyelidikan, inovasi dan komersial di institusi masing-masing.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti