Dari PTSB ke IIUM, Pasangan Kembar Ini Buktikan Tiada Halangan untuk Berjaya

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
16 October 2024
Akademik, Alumni, Umum

KULIM – Dalam suasana penuh kebanggaan dan emosi, Nurul Syazwana binti Sagul Hamid dan Nurul Zuhairah binti Sagul Hamid, graduan kembar dari Jabatan Perdagangan melakar kejayaan bersama di Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) ke-18. Dengan Diploma Akauntansi di tangan, pasangan kembar ini melangkah ke fasa seterusnya dalam pendidikan tinggi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. Syazwana kini mendalami bidang Kewangan Islam manakala Zuhairah menumpukan pada Ekonomi.

Di sebalik kegembiraan mereka, tersimpan kisah perjalanan yang penuh liku. Kehilangan bapa tercinta, Sagul Hamid Bin K.M Latiff pada 2022 akibat komplikasi jantung merupakan tamparan hebat buat mereka. Namun, di bawah didikan ibu mereka, Mumtaj Begum, seorang auditor di Lumileds, Penang, mereka tidak patah semangat dan bangkit cemerlang dalam pelajaran.

Meneruskan pengajian dalam tempoh pandemik, Syazwana dan Zuhairah melalui detik sukar dalam pendidikan apabila semester 1 hingga 4 dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian tanpa suasana kampus dan interaksi rakan-rakan. Cabaran pendidikan jarak jauh ini menuntut disiplin tinggi namun dengan kecekalan, mereka berjaya menamatkan pengajian dan kembali ke kampus untuk semester terakhir. Menariknya, kembar ini berkongsi bukan sahaja pencapaian akademik tetapi juga impian yang besar untuk masa depan.

Di samping itu, abang mereka, Muhammad Anas bin Sagul Hamid yang kini menuntut dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik di Wawasan Open University turut menjadi pendorong dalam keluarga ini, memperlihatkan semangat yang utuh untuk terus maju walaupun berhadapan pelbagai cabaran.

Kisah Syazwana dan Zuhairah adalah bukti bahawa impian tidak pernah mustahil untuk dicapai, biarpun laluan dipenuhi onak dan duri. Dengan sokongan keluarga dan usaha tanpa jemu, mereka mendepani masa depan dengan memikul harapan besar bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk keluarga dan masyarakat.

Syazwana (kiri) dan Zuhairah (kanan) mengukir senyuman kegembiraan atas kejayaan mereka menggenggam Diploma Akauntansi di PTSB   

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti