Banting, 8 Jun 2024 – YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah merasmikan Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2024 (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Banting, Selangor, hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, YB Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Majlis tersebut turut menyaksikan peluncuran Dasar TVET Negara 2030 yang bakal mengubah hala tuju pembangunan TVET di negara ini. Dasar tersebut akan menjadi rujukan utama seluruh institusi TVET sekali gus memastikan semua program kemahiran bidang tersebut dilaksanakan secara lebih efektif dan berkesan berpaksikan kepada 5 Teras selaras program TVET.
Menurut YAB Perdana Menteri, “ia adalah usaha mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir”.
Sementara itu, YAB Dato’ Seri Anwar turut bersetuju dengan cadangan untuk membuka lebih banyak peluang TVET kepada golongan orang kurang upaya (OKU) kerana menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan penerapan dasar dan Kerangka Ekonomi Madani yang mencakupi penduduk luar bandar khususnya masyarakat bumiputera di Sabah serta Sarawak.
Turut hadir adalah Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK). Terdahulu, beliau telah meluangkan masa berkunjung ke reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melihat produk serta pameran interaktif yang dibawakan oleh Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dan Kolej Komuniti Selayang (KKSY) serta Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) di reruai Keusahawanan POLYCC.
Hadir sama ialah Ts. Haji Kamaludin bin Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Ts. Abdul Razak bin Sabtu, Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Pengarah-pengarah POLYCC.