Delegasi Kolej Komuniti Arau Cemerlang di Medan: Jalin Kerjasama Serantau Melalui Program CERDAS 2025

KOLEJ KOMUNITI ARAU
25 June 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, Kolaborasi, Komuniti, Penyelidikan dan Inovasi

Medan, Indonesia, 16 Jun 2025 – Delegasi Kolej Komuniti Arau (KKA) selamat kembali ke tanah air selepas menamatkan misi akademik dan kemanusiaan yang penuh bermakna di bawah Program CERDAS 2025 (Collaboration for Education and Research Development Across Southeast Asia).

Lawatan selama 4 hari 3 malam ke Medan, Indonesia ini telah mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran budaya serta tanggungjawab sosial. Program ini bukan sahaja menjadi platform bagi pensyarah dan pelajar untuk mempamerkan kepakaran dan hasil penyelidikan malah turut mengukuhkan hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Antara pencapaian utama delegasi KKA termasuklah pembentangan 16 kertas penyelidikan dalam Seminar Nasional Teknologi Komputer & Sains (SAINTEKS 2025), penerimaan Anugerah Makalah & Pembentang Terbaik, penglibatan aktif dalam Program CSR bersama komuniti, penyertaan dalam Visiting Lecturer Programdi empat institusi rakan strategik serta pelaksanaan aktiviti pertukaran budaya dan lawatan akademik yang memperkukuh jaringan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.

Tuan Haji Rosnizam bin Kamis, Pengarah KKA merangkap Ketua Delegasi dalam kenyataannya melahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian yang diraih serta sambutan mesra yang diterima daripada rakan-rakan institusi di Indonesia. “Program CERDAS 2025 membuktikan bahawa TVET bukan sekadar latihan kemahiran, tetapi satu platform menyeluruh yang merangkumi penyelidikan, inovasi dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Delegasi KKA turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan Fakulti Komputer dan Pengajian Teknologi (FKPT) atas kerjasama erat dan bantuan sepanjang program berlangsung. Dengan semangat dan pengalaman yang dibawa pulang, KKA kini lebih bersedia untuk meneroka peluang kolaborasi antarabangsa seterusnya demi memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan TVET serantau. Sehingga berjumpa lagi, Medan. Terima kasih atas kenangan dan kerjasama yang luar biasa!

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti