Digitalisasi TVET : Senjata rahsia dalam pemangkin Malaysia MADANI

UKK JPPKK
29 September 2023
RENCANA

Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Prinsip Gagasan Malaysia Madani yang menjadi kaedah baru yang direka dalam meningkatkan kemakmuran negara dengan Enam Nilai Teras Madani dicerakinkan sebagai kerangka dasar. Madani di ilham bagi menzahirkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan dari segenap lapisan masyarakat. Oleh yang demikian, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai kejayaan utama dalam pengembangan Malaysia Madani, khususnya dalam empat (4)  fokus utama seperti sumber gambar daripada laman sesawang tvet.gov, yang menyatakan TVET Madani dapat meningkatkan daya saing yang mampan, mewujudkan pembelajaran sepanjang hayat, membentuk ekosistem dan landskap pembelajaran lestari dan terkini juga melahirkan graduan yang holistik. Hatta, jika direnung daripada fokus yang dinyatakan serta di kaitkan dengan arus permodenan kini, dalam usaha mencapai setiap tumpuan tersebut adalah dengan kehadiran digitalisasi ke dalam TVET yang semestinya selari dengan arus kemajuan dan kemodenan negara. 

Digitalisasi TVET memberi maksud yang signifikan apabila keupayaan digital dapat menerobos pelbagai bidang dan kemahiran dapat dipertingkatkan sejajar dengan teknologi yang kian membangun seperti “cendawan selepas hujan”. Dalam ucapan Perdana Menteri Malaysia pada sesi bual bicara komuniti latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Pulau Pinang pada Julai 2023, beliau menegaskan agar perubahan ke atas Pendidikan TVET di berikan penekanan oleh para pendidik khususnya dalam merubah sistem TVET digital dalam usaha melahirkan pakar TVET yang mengikut arus Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 dalam memastikan kemakmuran dan kecemerlangan ekonomi dan pendidikan negara lebih berdaya saing.  

Jika ditelusuri makna digital itu adalah integrasi kaedah proses kerja, pengajaran dan pembelajaran yang disokong oleh media digital dalam perkembangan ke arah industri 4.0. TVET pula berperanan sebagai proses Pendidikan yang memfokuskan kepada amalan industri yang lebih praktikal atau hands-on yang memberikan lebih banyak peluang dalam mencipta kreativiti dan inovasi dalam usaha menghasilkan amalan kerja yang lebih produktif dan relevan mengikut kehendak industri. Oleh yang demikian, bak kata pepatah, umpama aur dan tebing begitulah perumpamaan antara TVET dan digitalisasi. Ini bermaksud senjata rahsia dalam mengembangkan Malaysia Madani yang bersifat mampan, holistik dan terkini, TVET perlulah di digitalisasikan dalam membawa hasrat negara untuk kesediaan menerima perubahan di segenap lapisan industri dan masyarakat. 

Digitalisasi TVET merujuk kepada integrasi teknologi dan alat digital ke dalam proses pendidikan dan latihan dalam bidang ini. TVET merangkumi pelbagai kemahiran dan pengetahuan praktikal yang diperlukan untuk pelbagai industri dan sektor, seperti pembuatan, pembinaan, penjagaan kesihatan, dan banyak lagi.

Peningkatan digitalisasi mengubah dunia kerja dan meletakkan tuntutan baru untuk pekerja mahir dalam perdagangan dan industri, dalam masyarakat, serta untuk proses pengajaran dan latihan berasaskan kolej dan berasaskan syarikat. Seperti yang dinyatakan di dalam perkongsian Penyelidik di Universiti Tun Hussien On Malaysia (UTHM), beliau berkongsi bahawasanya, Malaysia Madani perlukan generasi berpendidikan TVET agar setanding dengan negara maju yang menjadikan elemen kreativiti dan inovasi sebagai elemen penting dalam berhadapan dengan cabaran pergolakan, ketidakpastian, kompleks dan kekaburan (VUCA).

Justeru itu, dalam menangani cabaran-cabaran di arus kemodenan teknologi dalam bidang Pendidikan khususnya, semua pihak perlu memahami kepentingan digitalisasi TVET ini dimana terdapat pelbagai kelebihan mendigitalisasikan TVET sejajar usaha memakmurkan Malaysia Madani yang  ingin mengangkat semula martabat masyarakat dan menstuktur semula ekonomi negara. Antara kelebihan mendigitalisikan TVET adalah berubah daripada Pendidikan tradisional Pendidikan digital yang lebih terkini dan dekat dengan para pelajar. Dewasa kini membuktikan kebanyakan syarikat tidak hanya mementingkan aspek segulung ijazah semata-mata namun kini, syarikat lebih menginginkan lepasan yang mampu berdaya saing tanpa perlu di asuh dari awal dalam penggunaan alat atau ilmu tanpa sempadan. 

Jaringan komunikasi yang pantas membuatkan persaingan dalam generasi kini kian mencabar. Remaja kini lebih berminat menpelajari sesuatu ilmu itu dengan lebih cepat dan pantas serta dengan bantuan aplikasi seperti permainan di dalam kelas, simulasi virtual, pembelajaran campuran dan lain-lain kaedah yang lebih mudah di akses. Hal ini jelas membuktikan apabila berlaku digitalisasi TVET yang bersasar ini akan meningkatkan martabat pelajar dan lebih bersifat holistik dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya saing. 

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Haji Mohd Zahari Ismail pernah menyatakan kadar kebolehpasaran graduan politeknik meningkat sebanyak 96.2%, manakala kolej komuniti mencatat sebanyak 96.8% bagi tahun 2022. Hal ini jelas membuktikan pelajar TVET merupakan antara senjata rahsia kepada kejayaan Malaysia Madani dalam inisiatif menjadi negara yang tinggi tahap kebolehpasaran dan nilai graduan yang bermutu tinggi.

Tambah beliau lagi, dimasa hadapan lebih banyak kursus kemahiran bakal ditawarkan. Lebih istimewa, pengenalan kepada Program Asasi TVET diperkenalkan dimana akan memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Hatta, di dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju, bersifat holistik dan berinovasi, kerajaan harus menyokong dengan penuh dedikasi pembelajaran TVET serta terus memberi sokongan dalam usaha mendigitalisasikan TVET dari segi alat, tenaga pengajar juga inisiatif dana atau geran bertemakan digitalisasi TVET dimasa hadapan dengan lebih meluas. Diharapkan penulisan ini dapat memperkasakan TVET kearah yang lebih jauh apabila pendigitalisasi berfungsi dengan rahmahnya sejajar dengan prinsip Madani untuk mewujudkan negara yang mampan, rakyat sejahtera dan berdaya cipta. 

Penulis :

Dr. Siti Aishah Edros

Pensyarah Politeknik Hulu Terengganu

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti