
Alor Setar, 17 Mei 2025 – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 peringkat Negeri Kedah yang berlangsung selama dua hari di Star Walk, Alor Setar telah berjaya menarik ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Bertemakan “YAKIN BOLEH!”, acara ini diraikan dengan penuh semangat, menonjolkan keyakinan dan potensi belia dalam membina masa depan negara melalui pelbagai pengisian yang menarik dan bermakna.
Antara aktiviti yang paling mencuri tumpuan ialah aktiviti Doodle Art yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Arau (KKA), Perlis sebagai satu medium ekspresi seni yang inklusif dan interaktif. Ia bukan sahaja mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung malah menjadi ruang kreatif untuk belia menyampaikan idea, mesej positif dan harapan mereka terhadap masa depan. Aktiviti ini dikendalikan dengan penuh dedikasi oleh dua pensyarah dari Program Teknologi Senibina, Ts. Hazwani Rifhan Binti Halim dan Ts. Nur Syazalina Binti Hanafi bersama Puan Norfauziah Binti Ahmad dari Program Fesyen dan Pakaian yang turut menyumbang kepakaran seni dan kreativiti mereka.
Selain memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta mencorakkan kanvas doodle, pasukan dari KKA juga mengambil inisiatif mengadakan sesi promosi berkaitan program pengajian yang ditawarkan di kolej tersebut. Sesi ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang laluan pendidikan TVET khususnya dalam bidang Teknologi Senibina dan Fesyen dan Pakaian yang kini menjadi semakin penting dan relevan dalam arus pembangunan negara.
Majlis perasmian HBN 2025 telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Azura Binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang turut meluangkan masa meninjau aktiviti Doodle Art serta berkenan menurunkan tandatangan pada hasil karya sebagai tanda sokongan terhadap kreativiti belia dan inisiatif pendidikan komuniti. Kehadiran beliau menyuntik semangat dan pengiktirafan kepada usaha para pendidik dan peserta yang menjayakan aktiviti ini.
Turut hadir bertugas mewakili institusi beliau ialah En. Muhammad Zulhaiziem Alif Bin Fitry Hilmi, alumni Program Teknologi Senibina Kolej Komuniti Arau yang kini berkhidmat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah. Kehadiran beliau bukan sahaja menjadi simbol kejayaan lepasan KKA dalam dunia kerjaya malah menjadi inspirasi kepada para pengunjung khususnya golongan muda untuk yakin melangkah dalam laluan TVET.
Penyertaan aktif Kolej Komuniti Arau dalam program ini bukan sahaja menjadi platform strategik untuk memperluas jaringan promosi dan keterlibatan komuniti malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang menyokong aspirasi belia negara. Selaras dengan tema “YAKIN BOLEH!”, KKA membuktikan komitmen dalam melahirkan generasi muda yang yakin, berkemahiran dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara menerusi laluan pendidikan TVET yang holistik dan inklusif.