
Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menampilkan kepimpinan tenaga pengajar muda yang berdaya saing dan berpengaruh dalam bidang teknologi serta inovasi, selari dengan peranannya sebagai sebuah politeknik yang sentiasa mendokong hasrat dan inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Dua pensyarah muda dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Puan Normawar binti Ali dan Puan Norshahidah binti Manaf, bukan sekadar pendidik tetapi juga inovator dan pemacu perubahan dalam ekosistem TVET. Berbekalkan pengalaman bekerja dalam industri sebelum menyertai dunia akademik, mereka membawa perspektif dunia sebenar ke dalam bilik kuliah yang membolehkan pelajar memahami secara mendalam tentang keperluan industri terkini dan amalan terbaik sektor pembuatan serta automasi.
Menurut Puan Normawar, pengalaman beliau dalam sektor perkilangan telah membuka ruang kepada aplikasi teknologi automasi dalam pengajaran.
“Kami mahu pelajar bukan sahaja memahami teori semata-mata tetapi juga mampu menyelesaikan masalah dunia sebenar yang dihadapi oleh industri. Ini yang membezakan graduan politeknik sebagai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan relevan,” katanya.
Sementara itu, Puan Norshahidah menekankan kepentingan pendidikan berasaskan industri dalam memastikan graduan bersedia untuk cabaran masa depan.
“Pelajar perlu didedahkan kepada teknologi industri sejak awal supaya mereka lebih cekap dan kompeten apabila memasuki alam pekerjaan,” ujarnya.
Mereka baru-baru ini mencatat sejarah dengan meraih Pingat Emas dalam Kategori Terbuka serta Anugerah FK AI Innovation Award dalam International Competition and Exhibition on Computing Innovation (iCE-CInno) melalui projek inovasi bertajuk Intelligent Locking System for Weapon Rack (iWTR). Kejayaan ini membuktikan bahawa tenaga pengajar POLYCC bukan sekadar pendidik malah pelopor inovasi yang mampu menghasilkan penyelesaian teknologi berskala industri.
Di Karnival TVET POLYCC 2025, mereka berperanan penting mengendalikan demonstrasi teknologi di ruang pameran Centre of Technology (COT) PTSB melalui tarikan utama iaitu teknologi sistem MPS Sorting Station Festo yang digunakan dalam sektor automasi industri. Demonstrasi ini bukan sahaja menarik minat pelajar tetapi juga pihak industri yang mencari tenaga kerja mahir dalam bidang mekatronik, automasi dan kejuruteraan pintar.
Penyertaan aktif tenaga pengajar muda seperti mereka membuktikan bahawa PTSB bukan sahaja berupaya melahirkan graduan berkualiti tetapi juga membentuk barisan pendidik inovatif yang memacu TVET ke peringkat lebih tinggi.
#TVETForAll
#MakingPTSBGreat
#PTSBProud
#LensaPTSB