
Pengangkutan awam merupakan nadi penting dalam membentuk mobiliti bandar yang cekap, mesra alam dan berdaya saing. Namun, dalam dunia yang semakin menjurus kepada pendigitalan teknologi, pola mobiliti masyarakat telah berubah dengan kemunculan perkhidmatan e-hailing atau pengangkutan berasaskan aplikasi mudah alih. Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia, e-hailing boleh ditakrifkan sebagai sebuah kenderaan motor yang muatan tempat duduknya empat orang dan tidak lebih daripada sebelas orang (termasuk pemandu) yang digunakan untuk membawa penumpang dalam mana-mana perjalanan. Perkiraan, penempahan atau transaksi, dan tambang bagi perjalanan tambang perseorangan atau tambang berasingan bagi setiap satunya itu dipermudah melalui suatu aplikasi elektronik mudah alih yang disediakan oleh suatu perniagaan pengantaraan.
Operasi perkhidmatan e-hailing ini telah diperluas merentasi seluruh Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Jika dahulu orang ramai bergantung pada teksi tradisional atau bas awam, kini tempahan kenderaan boleh dilakukan hanya dengan satu sentuhan jari. Fenomena ini bukan sahaja merevolusikan cara manusia bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, tetapi juga membawa impak besar kepada ekonomi, sosial dan dasar kerajaan. Artikel ini akan meneliti sejarah global e-hailing, sejarah dan perkembangannya di Malaysia, kelebihan serta kekurangan, serta kaitannya dengan kecerdasan buatan (AI), sebelum diakhiri dengan refleksi tentang masa depan e-hailing di dalam negara kita.
Sejarah E-Hailing
Sejarah pengangkutan e-hailing bermula pada awal dekad 2010-an apabila Uber dilancarkan di San Francisco pada tahun 2010. Idea ini timbul apabila pengasas Uber, Travis Kalanick dan Garrett Camp, menghadapi kesukaran mendapatkan teksi konvensional di Paris. Mereka membangunkan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menempah kereta dengan pemandu hanya melalui telefon pintar. Model ini cepat mendapat sambutan kerana menawarkan kemudahan, harga lebih telus, dan pengalaman lebih moden berbanding teksi tradisional. Perkhidmatan Uber terus menjadi pilihan pengguna pada masa tersebut.
Tidak lama kemudian, syarikat lain muncul sebagai pesaing. Lyft muncul di Amerika Syarikat, sementara di China lahir syarikat Didi Chuxing yang akhirnya menjadi gergasi e-hailing Asia. Di India, syarikat Ola berkembang pesat dengan menyesuaikan perkhidmatan kepada pasaran tempatan. E-hailing kemudian telah diperluas ke seluruh dunia, membawa cabaran baharu kepada industri teksi tradisional, kerajaan, dan masyarakat. Di sesetengah negara, e-hailing disambut dengan baik, tetapi di negara lain, ia berdepan penentangan keras kerana dianggap mengancam periuk nasi pemandu teksi sedia ada.
Di Malaysia, sejarah e-hailing bermula sekitar tahun 2012 apabila GrabCar (dahulunya dikenali sebagai MyTeksi) muncul sebagai syarikat tempatan pertama yang diasaskan di Malaysia sebelum berpindah ke Singapura. Grab pada awalnya menyediakan platform untuk menempah teksi melalui aplikasi, sebelum memperluas perkhidmatan kepada kereta persendirian di bawah konsep GrabCar. Kemunculan Grab dan Uber di Malaysia mencetuskan fenomena baharu dalam sektor pengangkutan. Berdasarkan anggaran terkini, terdapat lebih kurang 300,000 pemandu e-hailing yang telah berdaftar dengan syarikat penyedia Grab di seluruh negara.
Bagaimanapun, kehadiran e-hailing mencetuskan kontroversi besar. Pemandu teksi tradisional merasakan diri mereka terancam kerana kehilangan pelanggan. Mereka berhujah bahawa pemandu e-hailing tidak tertakluk kepada peraturan ketat seperti lesen teksi, permit, dan caj yang ditetapkan. Keadaan ini membawa kepada protes, bantahan, dan desakan supaya kerajaan mengawal selia perkhidmatan e-hailing.
Mengambil kira isu yang dibangkitkan pemandu teksi tradisional, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif. Pada 2017, Parlimen meluluskan pindaan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat untuk mengiktiraf dan mengawal selia e-hailing. Berkuat kuasa mulai pada 12 Oktober 2019, semua pemandu e-hailing diwajibkan memiliki lesen PSV (Public Service Vehicle) yang sama seperti teksi, menjalani pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM, dan mematuhi syarat insurans. Tindakan ini menandakan pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap e-hailing sebagai sebahagian daripada sistem pengangkutan negara.
Perkembangan E-Hailing di Malaysia
Sejak pengiktirafan rasmi, e-hailing terus berkembang pesat di Malaysia. Grab muncul sebagai pemain dominan selepas Uber keluar dari Asia Tenggara pada 2018 melalui penggabungan dengan Grab. Selain Grab, terdapat juga beberapa pesaing lain seperti AirAsia Move, RYDE, Maxim, MyCar, inDriver, EzCab, Bolt, Lalamove dan Riding Pink yang cuba merebut pasaran. Perkhidmatan e-hailing kini bukan sahaja tertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, tetapi juga semakin meluas ke bandar-bandar kecil.
Perkembangan e-hailing di Malaysia turut dipacu oleh faktor gaya hidup moden. Generasi muda yang lebih celik teknologi lebih selesa menggunakan aplikasi digital berbanding menahan teksi di tepi jalan. Tambahan pula, sistem pembayaran tanpa tunai melalui e-wallet seperti GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, dan ShopeePay menjadikan pengalaman pengguna lebih mudah. Semasa pandemik Covid-19, walaupun sektor e-hailing terjejas akibat pergerakan terhad, syarikat-syarikat e-hailing mengembangkan perkhidmatan kepada penghantaran makanan (GrabFood, AirAsia Food) dan penghantaran barangan (GrabExpress). Ini membuktikan bahawa model perniagaan e-hailing bersifat fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Selain itu, ia juga amat mambantu masyarakat dalam menjana pendapatan yang terjejas ketika pandemik ini berlaku.
Kelebihan dan Kekurangan Pengangkutan E-Hailing
Pengangkutan e-hailing membawa banyak kelebihan yang menjadikannya pilihan popular masyarakat Malaysia. Dari segi pengguna, ia menawarkan kemudahan yang sukar ditandingi iaitu tempahan boleh dilakukan bila-bila masa, dengan pemandu sampai ke lokasi pengguna tanpa perlu menunggu lama. Pengguna juga bebas untuk membatalkan tempahan sekiranya ada kecemasan mengikut terma yang ditetapkan. Tempahan juga boleh dilakukan lebih awal mengikut ketetapan masa pengguna bagi mengelakkan ketiadaan perkhidmatan pada waktu lewat malam atau awal pagi.
Dari segi kos, tambang e-hailing dianggap lebih telus kerana dipaparkan lebih awal dalam aplikasi, sekali gus mengurangkan risiko penipuan atau caj yang melampau. Selain itu, pengguna juga boleh memilih jenis kenderaan yang ingin dinaiki dari segi bilangan tempat duduk atau dari segi perkhidmatan pemandu e-hailing melalui bintang yang diberi oleh pelanggan.
E-hailing juga memberi keselamatan tambahan kerana perjalanan dipantau melalui GPS dan butiran pemandu dapat diakses dalam aplikasi. Pengguna boleh berkongsi lokasi perjalanan dengan keluarga atau rakan selain memberi ketenangan fikiran. Dari sudut pemandu, e-hailing membuka peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada mereka yang ingin menjana pendapatan tambahan secara fleksibel.
Dari perspektif bandar, e-hailing boleh mengurangkan tekanan terhadap tempat letak kereta dan mengurangkan keperluan orang ramai memiliki kereta persendirian. Malah, ia boleh menjadi penyelesaian kepada masalah perhubungan first mile dan last mile, iaitu perjalanan dari rumah ke stesen pengangkutan awam atau sebaliknya. Ini dapat memudahkan pergerakan bagi pengguna yang duduk diluar lingkaran pengangkutan awam seperti LRT, MRT atau monorail tanpa perlu menunggu masa yang lama untuk medapatkan perkhidmatan bas ke stesen keretapi yang berdekatan.
Di Thailand, penggunaan Kenderaan Elektronik atau Electronic Vehicle (EV) semakin meluas apabila ia turut digunakan sebagai kenderaan e-hailing. Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan terhadap petrol, tetapi juga memberikan penjimatan yang ketara kepada pemandu dari segi kos bahan api dan penyelenggaraan. Selain itu, penggunaan EV turut menyumbang kepada usaha mengurangkan pencemaran udara serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar di negara tersebut. Inisiatif ini menunjukkan komitmen Thailand dalam menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam sektor pengangkutan moden.
Walaupun banyak kelebihan, e-hailing juga berdepan pelbagai kelemahan dan cabaran. Dari segi pengguna, tambang e-hailing sering berubah-ubah kerana sistem “surge pricing” yang bergantung kepada permintaan dan penawaran. Pada waktu puncak atau musim hujan, tambang boleh meningkat berkali ganda, menimbulkan rungutan pengguna.
Bagi pemandu pula, pendapatan dari perkhidmatan e-hailing yang dilakukan tidak menjanjikan pulangan kewangan yang stabil. Walaupun pada awalnya e-hailing menjanjikan pendapatan lumayan, kos tersembunyi seperti penyelenggaraan kereta, insurans, petrol, dan komisen kepada syarikat e-hailing mengurangkan keuntungan bersih. Pemandu juga berdepan risiko keselamatan, termasuk jenayah atau penumpang yang berbahaya.
Dari sudut industri, kehadiran e-hailing memberi kesan besar kepada pemandu teksi tradisional yang kehilangan pelanggan. Walaupun kerajaan cuba menyelaraskan syarat antara kedua-dua pihak, ketegangan masih wujud kerana perbezaan struktur kos operasi. Selain itu, wujud juga isu kesesakan lalu lintas kerana e-hailing menambah jumlah kenderaan di jalan raya, terutama di kawasan bandar.
E-Hailing dan Kecerdasan Buatan (AI)
Kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan besar dalam menjadikan e-hailing lebih cekap dan pintar. Sistem algoritma AI digunakan untuk mengatur padanan antara pemandu dan penumpang berdasarkan lokasi, masa, dan keadaan trafik, dengan tujuan mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kecekapan operasi. AI juga digunakan untuk mengira tambang dinamik melalui sistem surge pricing, di mana harga tambang berubah mengikut permintaan semasa.
Selain itu, AI turut digunakan dalam aspek keselamatan. Contohnya, sistem boleh mengesan pemanduan berbahaya melalui data sensor telefon pintar seperti pecutan mendadak atau membrek kasar, lalu memberi amaran kepada pemandu. AI juga digunakan untuk analitik data penumpang bagi meramalkan pola perjalanan, membantu syarikat merancang promosi atau meningkatkan kawasan liputan.
Di masa hadapan, AI berpotensi lebih besar dalam e-hailing, khususnya dengan integrasi kenderaan autonomi. Bayangkan perkhidmatan e-hailing tanpa pemandu, di mana kereta memandu sendiri untuk mengambil dan menghantar penumpang. Walaupun teknologi ini masih dalam peringkat ujian di beberapa negara, ia menunjukkan hala tuju masa depan industri e-hailing yang semakin pintar.
Kesimpulan
Pengangkutan e-hailing telah membawa revolusi besar membentuk cara masyarakat bergerak, sama ada di peringkat global mahupun di Malaysia. Bermula daripada inovasi kecil di San Francisco, ia berkembang menjadi fenomena global yang mengubah landskap pengangkutan awam. Di Malaysia, e-hailing bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu, walaupun pada masa yang sama mencetuskan cabaran besar kepada industri teksi tradisional dan dasar kerajaan.
Kelebihan e-hailing dari segi kemudahan, keselamatan, dan fleksibiliti tidak dapat dinafikan, namun kelemahannya seperti tambang yang tidak konsisten, risiko keselamatan pemandu, dan kesan terhadap kesesakan jalan raya perlu ditangani dengan serius. Dengan bantuan AI, e-hailing semakin pintar dan berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem mobiliti bandar yang lebih cekap.
Masa depan e-hailing di Malaysia bergantung kepada bagaimana kerajaan, syarikat, dan masyarakat dapat bekerjasama untuk menyeimbangkan keperluan pengguna, keadilan kepada pemandu selain mencapai kelestarian bandar. Jika dilaksanakan dengan sistematik, e-hailing boleh menjadi tonggak utama dalam mencapai matlamat Malaysia MADANI Hijau dengan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif, pintar dan mesra alam.
Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.