Kulim- Program Eksplorasi Rukun Negara: Mahasiswa Progresif Pemangkin Perpaduan yang dianjurkan oleh Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) bertujuan untuk menyemai kesedaran dan kefahaman mendalam mengenai prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan mahasiswa PTSB sekaligus memperkukuh perpaduan nasional.
Slot forum yang dikendalikan oleh Encik Norsyahidan bin Mohamad Yusof, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar selaku moderator menampilkan perkongsian daripada tiga panel jemputan iaitu En. Muhammad Faizal Iylia bin Mohd Ghazali, Pegawai Latihan dari Akademi Kenegaraan Malaysia; Ts. Dr. Segar Rajamanickam dan Dr. Janet Ho Siew Ching yang merupakan pensyarah PTSB, masing-masing menekankan pentingnya penghayatan dan penerapan setiap prinsip Rukun Negara dalam memelihara keharmonian masyarakat.
Menurut panel, mahasiswa perlu memahami bahawa perpaduan bukan sekadar slogan tetapi asas yang dibina melalui pengamalan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian. Dengan kefahaman yang kukuh terhadap Rukun Negara, mahasiswa dapat menjadi pemangkin perpaduan di pelbagai peringkat kampus hingga ke komuniti.
Dirasmikan oleh Tn. Haji Ahmad Puat bin Haji Junus, Pengarah Perpaduan Negeri Kedah, program ini turut diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik “Darah Satria,” melambangkan semangat perpaduan dan cinta kepada negara.