Satun, 28 Ogos 2024 – 29 orang staf Kolej Komuniti Arau (KKA) meriahkan Program Pengantarabangsaan CSR & Unity Beyond Borders: We Rise By Lifting Others yang berlangsung pada 24 hingga 25 Ogos 2024 (Sabtu & Ahad) di Emirates Orphanage House Of Satun & Engthan Resort, Satun.
Menyahut tanggungjawab sosial korporat di samping mengetahui sejarah kewujudan Emirates Orphanage House Of Satun, mengenali dan beramah mesra dengan lebih dekat anak-anak yatim serta mengeratkan lagi hubungan di kalangan peserta yang terlibat merupakan objektif utama program ini dilaksanakan.
Bukan itu sahaja, KKA turut memberikan bantuan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan, sambil memupuk semangat perpaduan dan berpasukan merentas sempadan. Antara pengisian aktiviti menarik yang diadakan adalah aktiviti khidmat masyarakat (CSR) di rumah anak yatim dan aktiviti pembinaan pasukan (team building) iaitu berkayak.
Menurut Pengarah KKA, Tuan Haji Rosnizam Kamis, dengan penglibatan peserta dalam program ini dapat meningkatkan kesedaran sosial dan semangat kesukarelawanan di kalangan warga Kolej Komuniti Arau. Aktiviti-aktiviti seperti ini memberi peluang kepada sukarelawan untuk memahami dengan lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh komuniti lain, serta memupuk rasa empati dan tanggungjawab sosial,” katanya.
“Melalui interaksi langsung dengan kanak-kanak dan pengurusan rumah anak yatim, peserta dapat memberikan sokongan moral dan material, selain mengajar nilai-nilai murni kepada anak-anak yatim tersebut,” katanya lagi.
Selain itu, aktiviti ini diharapkan dapat memperkuatkan hubungan antara peserta serta meningkatkan keupayaan masing-masing untuk bekerja dalam satu pasukan.
Susulan lawatan ke rumah anak yatim, Ustaz Abdullah Al-Ayubi, Pengerusi rumah anak yatim tersebut berbesar hati membawa rombongan KKA ke Kolej Andaman bagi melihat fasiliti dan Masjid Al-Hashimi yang terletak berhampiran dengan rumah anak yatim. Semoga hubungan baik antara kedua-dua pihak ini berterusan dan jalinan kolaborasi dapat diadakan pada masa akan datang.