FOKUS INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DALAM MELAHIRKAN GRADUAN YANG MAMPAN KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
30 September 2024
RENCANA

Saban tahun, graduan yang menamatkan pengajian dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara akan memasuki pasaran pekerjaan. Persaingan yang sengit dalam pasaran pekerjaan membuatkan graduan perlu mempunyai kemahiran tambahan untuk kekal mampan dalam pembangunan negara. World Economic Forum (WEF) dalam laporan yang diterbitkan pada 2020 telah mengutarakan keperluan kepada kemahiran masa depan yang kritikal dalam ekonomi global yang sentiasa dinamik. Beberapa kemahiran kritis termasuklah kemahiran keusahawanan, kemahiran digital, dan kemahiran komunikasi sebagai elemen penting dalam mempersiapkan individu bagi menghadapi cabaran masa depan. Hal ini wajar menjadi fokus utama semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dalam memastikan graduan memperoleh kemahiran yang relevan dan diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

Pertama, kemahiran keusahawanan. Kemahiran keusahawanan adalah berkaitan dengan tingkah laku diri seseorang yang mampu mengenalpasti peluang, menguruskan risiko, bersikap proaktif dan melakukan inovasi. Dalam hal ini, tumpuan IPT perlu dalam mendorong pelajar untuk berfikiran kreatif dan inovatif, proaktif dalam mencari penyelesaian, dan berani mengambil inisiatif untuk memulakan sesuatu langkah baharu. Latihan amali dalam bilik kuliah harus melihat kepada aktiviti merancang dan mengimplementasikan projek, serta memahami aspek pengurusan perniagaan seperti pembiayaan, pemasaran, dan operasi, adalah penting dalam mengembangkan kemahiran keusahawanan. Sama ada bergelar usahawan ataupun tidak, graduan yang memiliki tingkah laku berorientasikan keusahawanan berupaya melaksanakan sesuatu tugasan atau pekerjaan dengan efektif dan efisien.

Kedua, kemahiran digital. Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa kini, kemahiran digital menjadi tunggak penting kepada semua orang. Kemahiran ini termasuklah kebolehan untuk menggunakan perisian dan aplikasi komputer, memahami data analitik, keselamatan siber, dan keupayaan untuk berkomunikasi dan bekerjasama secara efektif dalam persekitaran digital. Sehubungan dengan itu, pelajar perlu dilatih untuk meraih kemahiran dalam teknologi terkini dan adaptif terhadap perubahan teknologi yang cepat. Aktiviti-aktiviti luar bilik kuliah yang berkaitan perlu dirancang dengan jelas oleh pihak IPT agar para pelajar yang mengambil program pengajian bukan berteraskan ICT turut sama meraih kemahiran digital yang berkaitan.

Ketiga, kemahiran komunikasi. Kemahiran komunikasi adalah berkaitan keupayaan untuk berinteraksi secara efektif, baik secara lisan mahupun secara bertulis. Kemahiran komunikasi termasuklah melahir dan menyampaikan idea dengan jelas dan meyakinkan, dapat berkolaborasi dengan orang lain, serta mampu beradaptasi dengan orang ramai yang berbeza latar belakang. Kemahiran komunikasi yang tinggi dapat membantu pelajar dalam membangun satu hubungan profesional yang baik, berupaya mempengaruhi dan memimpin secara berkesan, serta kekuatan menangani situasi sukar secara diplomasi. Aspek kemahiran insaniah ini dapat dibangunkan oleh sesebuah IPT melalui penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti luar bilik kuliah seperti aktiviti kelas dan persatuan serta program-program lain di dalam dan juga luar kampus.

Penyediaan kemahiran pelajar pada masa depan tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata. Pihak IPT juga perlu memberi perhatian kepada aspek praktikal dan kehidupan sebenar pelajar mereka yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat selepas bergelar graduan. IPT perlu menawarkan program dan inisiatif yang membolehkan pelajar mengembangkan kemahiran ini melalui kurikulum yang terancang dengan baik, peluang pembelajaran luar bilik kuliah, latihan kerja, serta hubungan erat dengan industri dan komuniti profesional. Dengan usaha tersebut, pelajar akan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia masa kini dan berupaya menjadi ahli masyarakat yang efektif dalam pembangunan negara.

Dr Dzulkarnain Musa
Pensyarah Utama
Jabatan Perdagangan
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, 06000 Jitra, Kedah

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti