GRADUAN DIPLOMA SENIBINA DINOBATKAN PENERIMA ANUGERAH PENGARAH POLITEKNIK

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
11 August 2024
Akademik

KUANTAN, 10 Ogos 2024 – Buat julung kalinya, Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Ke-45 menobatkan, kedua-dua penerima Anugerah Pengarah Politeknik adalah dari program pengajian yang sama iaitu Diploma Senibina, Jabatan Kejuruteraan Awam.

Ahmad Syazwan Mohd Yassin dan Muhammad Firdaus Mohamad Fadli, masing-masing berjaya menamatkan pengajian mereka dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.82 dan 3.72.

Mereka juga berjaya meraih Anugerah Ketua Jabatan empat kali berturut-turut sepanjang tempoh pengajian; tidak hanya cemerlang dalam akademik bahkan aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum.

Ahmad Syazwan yang kini sedang menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Bachelor of Science (Hons) Architecture turut menerima Anugerah Tokoh Siswa POLISAS pada 2022.

Minat yang mendalam dalam bidang senibina pula mendorong Muhammad Firdaus memilih POLISAS sebagai batu loncatan untuk mengejar impian. Beliau yang kini berkhidmat di sebuah Firma Arkitek di Shah Alam turut dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Kolej Kediaman POLISAS tahun 2022.

Seramai 1445 graduan POLISAS berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma dan diraikan sempena Majlis Konvokesyen POLISAS ke-45. Majlis Konvokesyen ini diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah selama dua hari bermula hari ini sehingga 11 Ogos 2024.

Penganugerahan diploma kali ini merupakan kumpulan yang tamat pengajian pada sesi 2 2022/2023 dan sesi 1 2023/2024. Jumlah keseluruhan graduan yang dilahirkan POLISAS sejak 1976 sehingga kini adalah seramai 60559 dan pada tahun ini melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 387 orang, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (212 orang), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (259 orang), Jabatan Perdagangan (397) dan Jabatan Teknologi Makanan 190 orang.

Majlis Konvokesyen bagi sidang pertama hari ini disempurnakan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Guai, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Bagi sidang kedua dan ketiga pula akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitumal dan Operasi), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr. Asmadi Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Seikou Systec Sdn.Bhd., Ts. Siew Peng Wah.

Majlis Konvokesyen ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang menunjukkan dedikasi dan iltizam seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Politeknik dan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Pengarah Politeknik.

Anugerah Khas Industri juga diberikan pada tahun ini iaitu sumbangan daripada pihak industri sebagai pengiktirafan kecemerlangan penuntut dalam bidang masing-masing dengan jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM 413,700.00.

Sebagai salah sebuah Institusi Pendidikan yang memacu bidang teknikal dan vokasional, diharapkan penganugerahan yang diberi ini akan menjadi pemangkin kepada graduan untuk lebih cemerlang dalam menggilap potensi diri  agar mampu bersaing di peringkat global yang serba mencabar.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Instruksional Dan Pembelajaran Digital (BIPD), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Y.M. Tengku Besaruddin Shah Tengku Yaakob, Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim serta Pengarah-Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti.

Bersempena dengan majlis konvokesyen kali ke-45 ini, gerai-gerai jualan Keusahawanan juga turut dibuka bertujuan bagi menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar POLISAS.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti