Kulim, 5 Ogos 2024 – Kisah Arif Mahmudi adalah sebuah cerita tentang ketabahan dan harapan. Arif Mahmudi bin Shamsul, seorang anak muda dari keluarga yang serba kekurangan. Arif baru-baru ini menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Bahan di sebuah Universiti Awam di Utara Semenanjung Malaysia dan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE) di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB). Namun, disebabkan kekangan kewangan, ayahnya tidak mampu menanggung yuran pengajian universiti awam yang mencecah ribuan ringgit. Arif juga hampir menolak tawaran politeknik kerana memilih untuk bekerja membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Kehidupan Arif tidak mudah. Ibu kandungnya meninggal dunia ketika dia masih kecil. Anak keempat daripada tujuh adik-beradik ini tinggal bersama ayah dan ibu tirinya. Ayahnya hanya berniaga sendiri secara kecil-kecilan. Walaupun kakak sulung bekerja sebagai juruwang, dan kakak kedua serta abangnya bekerja di kilang, tanggungjawab untuk menjaga adik-beradik yang lebih muda juga terletak di bahu Arif. Adiknya yang berusia 17 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana kekangan kewangan dan kini bekerja di kedai makan. Dua lagi adiknya yang berusia 13 dan 15 tahun masih belajar di Madrasah Nurul Iman Batu Lima, Sik, Kedah.
KESUNGGUHAN PENSYARAH MENJADI PENDORONG
Nasib Arif berubah apabila beliau mendapat panggilan dari Puan Sharipah binti Daud Pensyarah PTSB yang bersungguh-sungguh meyakinkan Arif untuk sambung belajar.
“Arif jangan risau tentang bayaran yuran. Yuran di Politeknik hanya sekitar RM200. Arif juga layak menerima zakat Kedah sebanyak RM800 serta bantuan lain yang akan dibantu oleh Pusat Dakwah dan Tarbiah Al-Jazari PTSB dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEP). Bantuan Zakat Kedah boleh Arif manfaatkan untuk membayar yuran dan membeli kelengkapan untuk ke politeknik. Arif boleh sambung belajar tanpa terlalu risau akan bebankan keluarga”, ujar Puan Sharipah ketika berhubung dengan Arif dan ayahnya.
Kesungguhan dan keikhlasan Puan Sharipah untuk membantu Arif akhirnya berjaya mendorong Arif untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik.
Perjalanan Arif tidak mudah apabila dia sekali lagi diuji dengan kematian ayah tercinta dua hari sebelum Arif mendaftar di PTSB. Namun, dengan tekad dan semangat yang tidak pernah pudar, Arif melangkah ke PTSB diiringi redha almarhum ayahnya serta menggalas harapan keluarganya.
Arif dihantar oleh sepupunya dan dibekalkan sedikit duit poket daripada bapa saudaranya. Kisah Arif Mahmudi ini adalah bukti bahawa walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, semangat untuk mencari ilmu dan memperbaiki nasib keluarga menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan kelak. Kami mendoakan agar Arif berjaya dalam pengajiannya dan dapat mengubah nasib keluarga untuk masa depan yang lebih cerah.