HULU LANGAT, 13 OKTOBER 2024 – Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) berpeluang menyantuni sekumpulan anak-anak istimewa yang ditemani oleh ibu bapa atau penjaga mereka untuk menghasilkan key chain nama mengikut kreativiti masing-masing dengan menyusun abjad dan mewarna pada ukiran kayu yang dihasilkan menggunakan mesin laser engraver di Karnival Variasi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2024.
Selain mengetengahkan kepakaran teknologi dalam bidang Teknologi Seni Bina di KKSB, para pengunjung juga berpeluang untuk melihat penggunaan mesin laser engraver secara langsung.
Difahamkan tidak kurang daripada 100 pengunjung yang hadir ke ruang khemah KKSB untuk membuat aktiviti ini, termasuklah kanak-kanak dan dewasa. Malah Dato Wira Johan Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua turut berpeluang menghasilkan satu key chain nama semasa mengadakan sesi kunjungan ke ruang pameran dan khemah kursus-kursus PSH dilaksanakan.
Dato Wira Johan Abd Aziz berkata semasa ucapan perasmian beliau, kolej komuniti menawarkan program sepenuh masa peringkat sijil dan diploma dalam bidang Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) serta menawarkan pelbagai kursus dalam program pembelajaran sepanjang hayat bagi segenap lapisan masyarakat.
“Seiring dengan objektif PSH di kolej komuniti dalam menyediakan rangkaian strategik untuk pengukuhan aktiviti sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat, kita semua wajar memanfaatkan peluang yang ada ini untuk kemajuan diri, keluarga dan komuniti.”
Karnival Variasi PSH ini melibatkan pelaksanaan Kursus-kursus PSH berimpak tinggi daripada setiap Kolej Komuniti Zon Selangor yang diadakan bersempena Hari Sukan Negara di Stadium Kajang.
Program ini dianjurkan bagi mendedahkan para pengunjung dengan kursus-kursus PSH yang dijalankan di kolej komuniti sekitar Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Pelaksanaan karnival ini bersesuaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang dijenamakan semula di Negeri Selangor sebagai Smart Selangor Mampan yang mempunyai 17 sasaran merentasi pelbagai fokus antaranya kemiskinan, perbandaran, kesihatan, kemampanan bandar, komuniti dan pendidikan.
Pengarah KKSB, Ahmad Arman Nor Anuar bergambar kenangan dengan peserta Kursus Penghasilan Key Chain Nama