30 September 2022, Kuala Lumpur – Mekeria, jenama kuih keria sejuk beku dari Terengganu menjadi contoh terbaik bagaimana seorang usahawan muda mengubah situasi bermasalah kepada peluang perniagaan menguntungkan.
Semuanya bermula apabila Mohamad Faris Shahin Mohamad Fairus, 24, graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin sekeluarga tidak dapat menikmati kuih keria yang tular di Melaka kerana kehabisan dan kini berjaya menghasilkan 15,000 biji keria sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Sebaik pulang dari kampung ayah di Melaka, kami singgah ke Cameron Highlands dan membeli satu pek keledek dan cuba membuatnya sendiri.
“Kami goreng dan berikan juga kepada jiran dan ahli keluarga yang lain dan mereka galakkan menjualnya dan dari situ kami mula berniaga secara tempahan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Pada 2017, kami mula berniaga di tepi jalan dan dari situ kami faham mengapa peniaga tidak dapat membuat banyak kuih keria sedangkan pelanggan termasuk pelancong beratur panjang untuk mendapatkannya,” katanya.
Bermula dengan satu pek ubi keledek, kini Mekeria berjaya menghasilkan satu tan kuih keria sehari dengan bantuan 40 pekerja, berkembang daripada pengilangan secara manual kepada penggunaan mesin. Pada masa sama, pihaknya berjaya mengatasi masalah kekurangan bekalan keledek seperti dialaminya tiga tahun lalu menerusi pembukaan ladang kontrak yang membekalkan keledek jenis vitato keluaran Institut Penyeldikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi). Mekeria terus berkembang dari jualan sekitar Terengganu, sebelum melebarkan sayap ke Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor menerusi 30 ejen jualan.
“Kami bermula dengan menggunakan nama Keria Viral Ganu, namun selepas perbincangan dengan Pernas (Perbadanan Nasional Berhad) tahun ini, mereka menyarankan kami menggunakan jenama baru.
“Untuk membuka francais perlu menggunakan jenama sendiri dan tidak gunakan perkataan viral atau kenegerian,” katanya.
Artikel ini diambil dari Laman Web myMetro pada 1 Oktober 2022. Pautan : https://www.hmetro.com.my/pks/2022/09/887110/hasil-15000-keria-sehari