KUCHING, 27 Mei – Seramai 33 orang pelajar semester tiga program Sijil Teknologi Senibina (STS) telah mempamerkan hasil kerja mereka yang berbentuk model senibina berdasarkan lukisan pelan rumah panjang moden yang bertempat di Dewan Serbaguna, Kolej Komuniti Kuching di sini, hari ini.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw bahawa initiatif penubuhan Industry On Campus (IOC) merupakan kolaborasi di antara KKKG dan PCSS Consultancy Sdn. Bhd. yang berfokus untuk memberi pendedahan kepada pelajar STS tentang persekitaran yang sebenar dalam industri binaan di peringkat awal.
“Para pelajar yang mengambil jurusan STS di kolej ini dapat mengaplikasikan masalah sebenarnya yang berlaku di dalam industri dan mereka akan melihat daripada konteks pengajaran dan pembelajaran.
“Selain daripada itu, para pelajar turut terdedah kepada peralatan model senibina yang berteknologi terkini yang digunakan oleh industri binaan di negara ini.
Justeru dengan itu, Kolej Komuniti Kuching berupaya melahirkan graduan program STS yang berkualiti dan industry ready,” kata Sumbang semasa menyampaikan ucapan aluan pada majlis Hari Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KKKG 2024.
Pegawai Daerah Kuching Sofhi Jebal berkata bahawa initiatif penubuhan Industry On Campus (OIC) yang dilaksanakan oleh KKKG sebagai sebuah institusi TVET mampu memberi pendedahan sepenuhnya kepada kemahiran TVET secara hands-on atau praktikal kepada pelajar yang mengikuti program pengajian sepenuh masa.
“Saya yakin bahawa pendekatan yang diterajui oleh pihak industri adalah penting untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan industri, terutama untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, selari dengan aspirasi menjadi negara maju,” ucap Sofhi semasa merasmikan pelaksanaan program Industry On Campus (OIC) pada Majlis Hari TVET KKKG 2024 hari ini.
Terdahulu para pensyarah dan pelajar bagi kursus Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) dan Sijil Asas Jahitan Kreatif (KJK) turut mempamerkan hasil kerja pelajar yang berupa fesyen jahitan pakaian dan jahitan langsir serta tote bag.
Hadir sama ke Majlis Hari TVET 2024 ialah Pengarah Politeknik Kuching, Samsudin Mohd. Saleh, Pengarah Kolej Komuniti Santubong, Abdullah Latep Mustapha, Timbalan Pengarah Akademik, Mervin Gumba Sigai, Wakil industri dari PCSS Consultancy Sdn. Bhd. Ir. Ts. Shazwan Ehsan Jamaludin, Arkitek Nurina Matnor, Neng Kho Razali dan Lyona Stephen.