Inovasi Pintar Boltbuddy Wrench Pipe: Game-Changer Dalam Dunia Perpaipan

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
28 August 2024
Penyelidikan dan Inovasi, Umum

Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus mengukuhkan peranan mereka dalam inovasi teknologi dengan pelancaran Boltbuddy Wrench Pipe, sebuah alat perpaipan yang direka khas untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan kerja dalam industri. Produk ini dilancarkan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin, Pengerusi Silterra Malaysia Sdn. Bhd. sempena penutupan NICERS’24, CIE-TVET 2024 & Rumble Drone Soccer Competition 2024 baru-baru ini.

Boltbuddy Wrench Pipe menjadi satu daripada 21 projek yang berjaya bagi kategori TVET Applied Commercialization Grant Scheme (T-ACGS) yang menerima geran RM40,000 di bawah Skim Geran TVET 2024. Produk ini direka dengan fokus kepada ergonomik, membantu pekerja mengurangkan tekanan fizikal dan risiko kecederaan semasa bekerja. Ts. Mohd Syafaril bin Jamaluddin, ketua penyelidik projek ini menyatakan bahawa produk ini dihasilkan dengan tujuan meringankan beban pekerja perpaipan yang sering berdepan kesukaran dalam tugas harian mereka.

“Inovasi ini bukan sekadar memudahkan kerja, tetapi juga menjaga kesihatan pekerja kita,” kata Ts. Mohd Syafaril.

Dengan rekaan yang praktikal dan berkesan, Boltbuddy Wrench Pipe dijangka memberi impak positif kepada industri perpaipan menjadikan kerja lebih selamat dan efisien.

Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin memuji usaha PTSB dalam mengembangkan teknologi yang bermanfaat kepada industri tempatan. “Pelancaran ini membuktikan komitmen PTSB terhadap penghasilan produk berkualiti yang memberi impak positif kepada industri,” katanya.

Dengan potensi penggunaan meluas, Boltbuddy Wrench Pipe dijangka membawa perubahan besar kepada sektor perpaipan sekaligus memperkukuh kedudukan PTSB sebagai peneraju inovasi dalam pendidikan TVET.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti