Integrasi ilmu dalam pendigitalan TVET POLYCC

UKK JPPKK
26 September 2023
RENCANA

Pendekatan ilmu perlu diusung oleh pelajar dan pensyarah TVET seiring dengan arus pendigitalan bagi melahirkan cerdik pandai dan pengajar harapan Malaysia.

Firman Allah SWT  yang bermaksud : “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11). Tiada sangkaan lain bagi orang yang berilmu mendapat kedudukan yang tinggi malah akan dipandang mulia disisi Allah. Ayat ini menerangkan betapa pentingnya ilmu dalam diri seseorang bahkan akan memberi manfaat dan kemudahan kepada masyarakat. Petikan ini disokong dengan hadis daripada Abu Darda, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Barang siapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah SWT akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Jelas di sini menuntut ilmu yang baik itu adalah tanggungjawab yang harus dilaksana selagi mana manusia hidup di muka bumi Allah ini. Dunia kini terus melangkah ke peringkat globalisasi yang berteraskan banyak sudut terutama dalam digitalisasi bagi membentuk kehidupan yang lebih baik dan teratur. Para cendiakawan khususnya teknorat memainkan peranan penting bagi merialisasikan impian negara melalui kajian kajian dan inovasi terulung. 

Malaysia tidak terkecuali membentuk masyarakat menjadi insan yang cemerlang dalam semua perkara terutama dalam pendidikan. Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana Menteri Malaysia , konsep Malaysia Madani menjadikan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan budaya akan terkehadapan menuju kepada kemajuan. Ini dibuktikan kerajaan memperuntukkan RM15.3 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) (5.7 peratus peningkatan berbanding tahun 2022) bagi mengurus dan membangunkan Pendidikan bagi anak anak bangsa. Penumpuan terhadap agenda pendigitalan akan dilaksanakan untuk memberi faedah dan manfaat kepada penyelidik, ahli ahli akademik dan pelajar pelajar IPT menerusi dana yang telah diperuntukkan. 

Warga Politeknik dan Kolej Komuniti menyambut baik saranan Perdana Menteri dalam merialisasikan digitalisasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk menjadikan anak bangsa menerajui negara yang semakin berkembang maju. Walaubagaimanapun, matlamat ini bukanlah semudah yang diungkapkan kerana pelaksanaan ini memerlukan ketahanan fizikal dan pemikiran yang utuh. Islam adalah agama fitrah yang menerima semua keadaan sesuai dengan masa dan tempat. Tidak menolak kemajuan dan kemodenan akan tetapi perlulah diteliti agar bertepatan dengan hukum Syariah. Jika diamati pada Konsep kaedah Fiqh : 

‘ الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ ‘

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)

Islam memberikan peluang dan hasrat umatnya menguruskan hal dunia dengan sebaik baiknya kecuali jika terdapat bukti atau dalil pengharaman sesuatu perkara. Dalam konteks pendigitalan PolyCC ini , para ahli akademik dan pelajar perlu meneruskan usaha yang baik dan jitu supaya komuniti dan masyarakat di negara kita merasai manfaat dan kebaikan bersama. Kurikulum berasaskan digital yang dimuatkan dalam TVET menjadikan Politeknik dan Kolej Komuniti melahirkan pelajar dan ahli akademik yang cinta kepada inovasi. Inilah intergrasi ilmu yang memberi motivasi kepada pelajar khususnya dan pensyarah amnya mencari penyelesaian terhadap isu pendidikan yang membelenggu negara. Pembelajaran teradun ‘blended learning’ sebagai pendekatan perkongsian dan penambahan ilmu kepada pelajar bukan hanya dalam bilik kuliah tetapi di luar bilik kuliah. Pembelajaran atas talian ini memberikan refleksi baik dan perkara yang tidak difahami akan segera dijelaskan.


Melalui tranformasi digital ini dirasakan sebagai platform yang mendidik pelajar TVET dalam pembentukan akhlak dan rohani disamping mengejar ke arah tamadun sains dan teknologi berlandaskan kepada prinsip Islam. Pengajar Unit Pendidikan Islam dan Moral PolyCC  kini berusaha dan berganding bahu dalam menyokong usaha kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi melahirkan pelajar TVET yang holistik, berdaya saing serta mempunyai sahsiah yang tinggi berbekalkan kepada kurikulum MPU21032 Penghayatan Etika dan Peradaban, MPU23012 Pengajian Islam, MPU23052 Sains Teknologi dan Kejuruteraan Islam , MPU23142 Pendidikan Moral dan MPU23042 Nilai Masyarakat Malaysia.

Melalui kurikulum ini pelajar menikmati pelbagai rentasan ilmu berkaitan kehidupan dalam garisan syariah dan akhlak yang menjamin keutuhan keimanan unsur ketuhanan. TVET dan Sahsiah adalah Serampang dua mata yang di ‘gazetkan’ dalam institusi dalam memenuhi hasrat negara mengejar arus IR4.0 lantas melahirkan modal insan yang cemerlang serta memajukan ekonomi negara. Sabda Nabi Muhammad SAW :

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya : “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Ahmad)

Berpandukan hadis ini mempunyai ikatan yang baik tentang ilmu yang dituntut asalkan bermanfaat,  malah ia menjadi satu galakan dalam integrasi ilmu supaya memberikan kebaikan dan manfaat kepada diri sendiri serta masyarakat.

Warga institusi TVET berusaha menjadikan anak bangsa cekal dan bersemangat kental dalam menerajui negara di masa hadapan bukan hanya menjadi ‘jurutera’ sahaja tetapi ‘jurutera madani’. Diharapkan semua masyarakat Malaysia menyokong usaha pendigitalan dalam institusi TVET bagi memperbanyakkan lagi inovasi yang menjadikan Malaysia sebagai hub perindustrian yang utuh.

Penulis:

Encik Mohd Azahar Bin Jantan
Pensyarah
Unit Pendidikan Islam
Jabatan pengajian Am
Politeknik Kuching Sarawak

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti