Intervensi kelajuan yang membunuh

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
01 October 2024
RENCANA

Hampir setiap hari kita disajikan dengan berita-berita kemalangan di jalan raya, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Kematian jalan raya pada masa ini meragut lebih banyak nyawa daripada penyakit malaria. Adalah dijangkakan menjelang 2030, keadaan ini akan menjadi dua kali ganda lebih banyak daripada kematian akibat HIV atau AIDS dan empat kali ganda berbanding akibat penyakit tuberkulosis. Ironinya, lebih daripada 3,500 orang meninggal dunia setiap hari akibat kemalangan maut di jalan raya dan dianggarkan 50 juta kecederaan telah dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Jika keadaan ini berterusan, dijangkakan akan berlakunya 13 juta lagi kematian dan 500 juta kecederaan dalam 10 tahun yang akan datang, terutamanya di negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana. Negara-negara di Asia Tenggara menyumbang lebih 20 peratus daripada kematian akibat kemalangan jalan raya. Di negara kita sendiri juga tidak terkecuali. Adalah dianggarkan sekitar 65,066 orang meninggal dunia dengan lebih 6,000 terbunuh di jalan raya dan kira-kira 20,000 kecederaan direkodkan setiap tahun untuk tempoh satu dekad.

Memandu laju adalah perbuatan membahayakan dan merisikokan pengguna jalan raya. Hakikatnya, kelajuan adalah satu perilaku yang boleh dicegah, kerana ianya berada di bawah kawalan pemandu sepenuhnya. Memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan bukan sahaja meningkatkan risiko berlakunya kemalangan, tetapi menyebabkan akibat yang lebih teruk. Kelajuan telah dikenal pasti sebagai risiko utama dalam kecederaan lalu lintas di jalan raya, mempengaruhi risiko kemalangan jalan raya serta tahap kecederaan yang berpunca daripadanya. Kelajuan melebihi had pula ditakrifkan sebagai pemanduan pada kelajuan yang tidak sesuai untuk keadaan jalan raya dan lalu lintas yang telah direka bentuk mengikut piawaiannya.

Apabila seorang pemandu itu memandu terlalu laju, mereka kurang mampu bertindak balas terhadap situasi yang tidak dijangka, dan kesan perlanggaran mungkin menyebabkan kematian kepada pemandu, penumpang atau pejalan kaki. Di negara-negara yang berpendapatan tinggi contohnya, pemanduan melebihi had laju telah menyumbang 30 peratus daripada kematian di jalan raya. Manakala di sesetengah negara berpendapatan sederhana dan rendah pula, kelajuan dianggarkan menyumbang separuh atau 50 peratus daripada kesemua faktor utama kemalangan jalan raya.

Mengawal kelajuan kenderaan boleh mengelakkan daripada berlakunya kemalangan. Sekalipun kemalangan tetap berlaku, kadar kecederaan yang ditanggung oleh mangsa dapat dikurangkan pada kelajuan rendah. Walau bagaimanapun, ramai pemandu terus memecut, walaupun menyedari bahayanya. Salah satu faktor penyebab utama adalah di mana situasi lampu isyarat hijau bertukar merah dan pemandu beranggapan tiada kereta lain di jalan raya. Kejadian ini biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya yang menggunakan motosikal terutama sekali penghantar makanan yang bermotosikal kerana ingin mengejar masa dan trip penghantaran. Antara sebab lain adalah pemandu mungkin tidak mengetahui had laju yang telah ditetapkan pada jalan tersebut atau berpendapat mereka boleh melebihi had laju dengan selamat dengan margin yang kecil.

Selain itu, tahap kesedaran terhadap keselamatan jalan raya sangat rendah di kalangan pemandu menyebabkan kadar kecenderungan untuk berlakunya kemalangan jalan raya sangat tinggi. Sikap sambil lewa atau cuai pemandu dengan memandu secara melulu dan laju mempunyai hubungan yang signifikan mendorong kepada kemalangan jalan raya.

Pengaruh Kelajuan Terhadap Kemalangan

Pengaruh kelajuan terhadap kemalangan di jalan raya dapat diterangkan dengan lebih lanjut seperti berikut:

  • Semakin laju seseorang pemandu memandu, semakin pendek masa yang perlu diambil oleh pemandu untuk berhenti dan mengelakkan kemalangan. Sebagai contoh, sebuah kereta yang bergerak pada kelajuan 50 km/jam biasanya memerlukan 13 meter untuk berhenti, manakala kereta yang bergerak pada kelajuan 40 km/jam akan berhenti dalam masa kurang daripada 8.5 meter.
  • Peningkatan purata kelajuan 1 km/jam biasanya mengakibatkan risiko kemalangan tiga peratus lebih tinggi yang melibatkan kecederaan, dengan peningkatan empat sehingga lima peratus untuk kemalangan yang mengakibatkan kematian.
  • Kelajuan juga menyumbang kepada kadar kecederaan yang lebih teruk apabila perlanggaran berlaku. Bagi penumpang kereta yang terlibat dalam kemalangan dengan impak kelajuan 80 km/jam, kemungkinan berlakunya kematian adalah 20 kali ganda dibandingkan dengan impak kelajuan 30 km/jam.
  • Hubungan di antara kelajuan dan kecederaan parah amat kritikal bagi pengguna jalan raya yang berisiko tinggi seperti pejalan kaki dan penunggang basikal. Sebagai contoh, pejalan kaki mempunyai 90 peratus peluang untuk hidup apabila dilanggar oleh kereta yang bergerak pada kelajuan 30 km/jam atau ke bawah, tetapi kurang daripada 50 peratus berpeluang untuk hidup, kesan daripada perlanggaran pada kelajuan 45 km/jam. Pejalan kaki pula hampir tiada peluang untuk selamat sekiranya berlaku hentaman pada kelajuan 80 km/jam.

Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kelajuan

Memandu laju adalah sejenis tingkah laku pemanduan yang agresif. Beberapa faktor telah dikenalpasti menyumbang kepada peningkatan keseluruhan dalam pemanduan secara agresif:

  • Kesesakan lalu lintas adalah salah satu faktor penyumbang yang paling kerap disebut kepada pemanduan agresif, seperti memandu laju. Pemandu mungkin bertindak balas dengan menggunakan tingkah laku pemanduan yang agresif, termasuk memandu laju, menukar lorong dengan kerap atau menjadi marah kepada sesiapa sahaja yang mereka percaya menghalang kemajuan mereka.
  • Sesetengah orang memandu secara agresif kerana mereka mempunyai terlalu banyak kerja dan “terlewat” ke tempat kerja, sekolah, mesyuarat yang seterusnya, kelas atau kuliah, urusan perniagaan atau temu janji yang lain.
  • Kebanyakan pemandu jarang memandu secara agresif, dan ada yang tidak pernah melakukannya. Bagi yang lain, episod pemanduan agresif adalah kerap, dan bagi sebahagian kecil pemandu ia adalah tingkah laku pemanduan biasa mereka. Episod pemanduan agresif sekali-sekala, seperti memecut laju dan menukar lorong secara tiba-tiba, mungkin berlaku sebagai tindak balas kepada situasi tertentu, seperti apabila pemandu lewat untuk temu janji penting, tetapi bukan tingkah laku normal pemandu.
  • Tren penghantar atau rider makanan atau penumpang mengejar trip dan ingin sampai ke destinasi dengan cepat menyebabkan ramai rider bertindak memandu secara agresif tanpa memikirkan keselamatan pemandu lain dengan beranggapan mereka memandu secara tidak laju.
  • Gangguan pemisahan seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu akan menyebabkan pemandu hilang fokus dan tidak sedar telah melebihi halaju yang ditetapkan. Keinginan untuk membalas sms atau menjawab telefon tanpa sedar menggangu tumpuan sewaktu memandu dan menyebabkan pemandu menekan pedal minyak tanpa melihat meter.
  • Penggunaan media sosialatau membuat siaran langsung sewaktu memandu juga antara faktor yang mendorong kepada pemanduan agresif. Ini kerana pemandu akan leka untuk membalas komen sewaktu bersiaran secara langsung (live) dan sekaligus menyebabkan mereka tidak peka dengan keadaan sekeliling dan memandu secara cuai dan laju.
  • Sesetengah pemandu kenderaan beranggapan memandu di dalam kereta dapat melindungi mereka dari kesalahan memandu secara laju. Mereka beranggapan tidak dapat dilihat oleh orang lain dan tidak akan berjumpa semula dengan mereka yang melihat tindakan mereka memandu secara laju.

Pengurusan Terhadap Kesan Buruk Kelajuan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), beberapa intervensi telah dikenal pasti berkesan dalam pengurusan dan kawalan kelajuan kenderaan:

  • Penetapan dan penguatkuasaan had laju adalah dua daripada langkah yang paling berkesan dalam mengurangkan kemalangan dan kecederaan jalan raya. Kajian lepas telah menunjukkan bahawa penurunan 1 km/jam pada kelajuan perjalanan akan membawa kepada pengurangan di antara dua hingga tiga peratus dalam kemalangan jalan raya.
  • Pengalaman di banyak negara telah menunjukkan bahawa pengenalan had laju sahaja hanya akan memberi kesan jangka pendek ke atas mengurangkan kelajuan, melainkan disertai dengan penguatkuasaan yang berterusan bagi tujuan tersebut. Pengunaan kamera perangkap halaju yang berdefinisi tinggi juga adalah cara yang sangat menjimatkan kos untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
  • Di sesetengah negara pula, had laju boleh diubah dan disesuaikan mengikut cuaca, keadaan lalu lintas dan masa pada hari tersebut. Ini adalah untuk memastikan bahawa had laju adalah responsif kepada keadaan setempat dan aliran lalu lintas. Tahap kelajuan juga boleh dipengaruhi oleh pembangunan infrastruktur yang lebih selamat. Ini melibatkan pengubahsuaian persekitaran jalan untuk mengurangkan aliran lalu lintas dan kelajuan kenderaan, sekaligus memberikan perlindungan daripada kemalangan dan mengurangkan kadar kecederaan. Ini termasuklah mengasingkan pengguna jalan raya yang berkelajuan tinggi dan rendah, atau tidak menggalakkan kenderaan memasuki kawasan tertentu.
  • Kawalan penenang lalu lintas telah digunakan secara meluas di kebanyakan negara berpendapatan tinggi untuk mengurangkan kekerapan kemalangan. Ini termasuklah pemasangan langkah mengurangkan kelajuan fizikal, seperti bulatan, perubahan menegak di jalan raya (contohnya bonggol kelajuan) dan perubahan mendatar di jalan raya (seperti penyempitan jalan atau jalur derum). Kawalan penenang lalu lintas ini sangat berguna terutamanya apabila penguatkuasaan undang-undang kawalan kelajuan mungkin kurang berkesan.
  • Peralihan daripada jalan berkelajuan tinggi kepada berkelajuan rendah tanpa amaran boleh mewujudkan kawasan berisiko tinggi terhadap kemalangan. Ini dapat diperhatikan di kawasan atau tempat kenderaan keluar dari lebuh raya. Pencirian reka bentuk boleh digunakan untuk menandakan zon peralihan di jalan sibuk yang menghampiri kawasan bandar dan kampung yang boleh mempengaruhi kelajuan pemandu. Zon berkelajuan lebih perlahan dan bulatan adalah contoh pencirian yang berguna dalam mengurangkan kelajuan kenderaan.
  • Kelajuan yang sesuai boleh ditetapkan ke atas lalu lintas melalui pencirian reka bentuk yang menghadkan kelajuan kenderaan itu sendiri. Perundangan boleh digunakan untuk menggalakkan penggunaan ciri tersebut. Ini sudah diamalkan di banyak negara ke atas kenderaan barangan berat dan koc. Dianggarkan kaedah ini telah menyumbang kepada pengurangan dua peratus daripada jumlah kemalangan kecederaan. Tindakan yang sepadan juga perlu diambil terhadap kereta dan kenderaan ringan yang lain
  • Teknologi keselamatan kenderaan pada masa kini juga dapat membantu pemandu peka akan halaju sewaktu memandu.  Sistem amaran automatik dan pengesanan titik buta (blind spot) boleh membantu menyedarkan pemandu sekiranya melebihi halaju yang ditetapkan sekaligus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya adalah satu kejadian yang boleh diramal dan seterusnya boleh dicegah. Namun, untuk mengatasi masalah tersebut, perlu ada penyelarasan dan kerjasama yang terperinci, menggunakan pendekatan holistik dan bersepadu, merentasi banyak sektor dan disiplin. Walaupun terdapat pelbagai cara yang boleh menyelamatkan nyawa, kemahuan politik dan komitmen adalah penting dan tanpanya, semua langkah kawalan dan intervensi tidak dapat direalisasikan.

Kerajaan boleh menggunakannya untuk membangunkan program keselamatan jalan raya yang berkesan dan kos efektif. Dengan sasaran pelaburan yang betul, negara seharusnya memperolehi manfaat sosial dan ekonomi yang besar daripada pengurangan kematian, kecederaan dan kecacatan akibat kemalangan jalan raya. Sekarang adalah masanya untuk bertindak.

Kita sebagai pengguna jalan raya berhak untuk mendapat perjalanan yang lebih baik dan selamat walau ke mana pun destinasi yang ingin dituju.  

Penulis :

Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin

Pensyarah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur

Dr. Ahmad Yusri Mohamad

Pensyarah, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff

Pensyarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti