Jawatankuasa Penasihat Industri Pacu Penambahbaikan Akademik PTSB

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
02 December 2025
Uncategorized

Kulim, Kedah – 30 November 2025 Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri pada 30 November 2025 bertempat di kampus PTSB. Mesyuarat ini menghimpunkan panel penasihat industri daripada pelbagai sektor yang mewakili kesemua program diploma yang ditawarkan di PTSB.

Mesyuarat bertujuan untuk membincangkan halatuju program akademik PTSB bersama pihak industri. Fokus utama adalah memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan dan sektor industri, menyelaraskan keperluan industri dengan keupayaan PTSB serta memastikan graduan politeknik terus relevan dan kompeten dalam pasaran kerja.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Ts. Dr Boey KH, Pengarah Urusan Solid Precision Engineering

Perbincangan turut merangkumi strategi memperkasa kurikulum agar lebih relevan dengan keperluan semasa industri, usaha meningkatkan enrolmen pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional serta kerjasama dalam mengkomersilkan produk inovasi pelajar dan pensyarah. Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif penting untuk memupuk budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan warga politeknik di samping membuka peluang pasaran baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita binti Arshad, menegaskan bahawa kerjasama erat dengan pihak industri adalah kunci dalam melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri agar program kami kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.

Panel penasihat industri yang hadir turut berkongsi pandangan dan cadangan bernas berkaitan pembangunan kemahiran, peluang latihan industri, potensi kerjasama strategik, serta sokongan terhadap usaha mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan oleh pelajar dan pensyarah PTSB.

PTSB komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan pihak industri demi memastikan pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia terus berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti