JELAJAH HPV NEGERI PERAK DI DAERAH MANJUNG

KOLEJ KOMUNITI MANJUNG
01 September 2024
BERITA, Komuniti

Seri Manjung, 23 Ogos 2024 – Program Vaksinasi HPV “Tanpa Meninggalkan Sesiapapun: Menoktahkan Kanser Serviks Di Malaysia” dan Keberangkatan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Ke Kolej Komunti Manjung telah diadakan pada 23 Ogos 2024 di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung. Seramai 858 orang yang telah menerima vaksin HPV di Daerah Manjung.

Kolej Komuniti Manjung ditugaskan sebagai Jawatankuasa Pendaftaran dan Sambutan diketuai pengarah Kolej Komuniti Manjung, Encik Hishamudin bin Musa serta Jawatankuasa Persiapan Buku Lawatan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan yang diketuai timbalan pengarah Kolej Komuniti Manjung, Encik Muhammad Hisyam bin Ab Razali sebagai pereka.

Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) telah memperoleh sumbangan sebanyak 300,000 dos vaksin Human Papillomavirus (HPV), bernilai kira-kira RM 90 juta untuk memvaksinkan golongan perempuan dan lelaki dari golongan kurang berkemampuan, terpinggir dan pedalaman secara percuma.

Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) merupakan sebuah pertubuhan kebajikan amal yang pertama di Malaysia yang menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu pendidikan, rawatan dan sokongan bagi mereka yang menghidap kanser dan juga orang ramai sejak lebih daripada lima dekad yang lalu. Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia adalah di bawah naungan Seri Paduka Baginda Seri Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Program ini akan dijalankan di setiap satu daripada 222 kawasan parlimen di seluruh negara, menggunakan konsep whole-of-society, di mana agensi-agensi di peringkat daerah termasuk Kolej Komuniti Manjung, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, badan-badan bukan kerajaan setempat di lapangan serta Pejabat Ahli Parlimen untuk mengenalpasti golongan yang kurang berkemampuan ini untuk diberikan vaksin tersebut. Usaha ini akan dibantu bersama oleh agensi- agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) seterusnya oleh sukarelawan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia yang akan turun ke lapangan memberikan vaksin tersebut. Program ini akan dibimbing dan dipantau oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen (JPKKP), Dewan Rakyat.

Program pada hari ini telah menerima Keberangkatan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim ke Daerah Manjung dalam melengkapkan siri Jelajah HPV Negeri Perak yang bermula pada 8 Ogos 2024 sehingga 11 September 2024. Daerah Manjung merupakan lokasi yang Ke 10 bagi jelajah ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti