JPPKK sedia libat diri dalam pengurusan bencana

UKK JPPKK
12 October 2023
Aktiviti Pelajar

12 Oktober 2023, Machang – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) yang disertai oleh pegawai dan pelajar bersedia libat diri dalam aktiviti pengurusan bencana bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, PPj. Kehormat (PA) Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail berkata, melalui PISPA, pelbagai kaedah dan aktiviti telah disusun dalam latihan yang diberikan bagi memudahkan proses penyampaian ilmu-ilmu pertahanan awam kepada belia seperti pendedahan secara teori, demonstrasi menyelamat dan sebagainya.

“Dengan ilmu ini, belia boleh melakukan kerja-kerja bantuan menyelamat awal, sementara mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi penyelamat.

Kesiapsiagaan awam ini sekaligus dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda penduduk awam.” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Himpunan Institusi Pertahanan Awam (HiPA) 6.0 di UiTM Cawangan Kelantan.

HiPA merupakan acara tahunan dengan mengumpulkan seramai 70 orang pelajar Kolej Komuniti seluruh negara. Melalui program ini sebanyak 10 pasukan ÿang mewakili setiap zon Kolej Komuniti berentap dalam pertandingan kemahiran menyelamat. Antara kemahiran yang diuji adalah melawan kebakaran, perawatan awal, menyelamat mangsa, merempuh halangan dan Civil Defense War Cry Battle.

Majlis Perasmian Penutup HiPA 6.0 telah disempurnakan oleh KPj. (PA) Datuk Aminurrahim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, disini.

Beliau berkata, APM sangat berbesar hati dalam melahirkan pelatih Pertahanan Awam menerusi penubuhan PISPA di peringkat Kolej Komuniti Malaysia. Besar harapan APM agar pelatih PISPA dapat menguasai kemahiran dalam membantu mengendalikan kecemasan dan bencana melalui ilmu Pertahanan Awam.

“Himpunan Pasukan Institusi Pertahanan Awam 6.0 (HiPA 6.0) merupakan medan ujian bagi menterjemah manifestasi ilmu serta hasil latihan Pertahanan Awam yang dijalani oleh pelatih PISPA dari seluruh Kolej Komuniti. Pertandingan yang dirangka adalah untuk menguji ketahanan mental, fizikal serta semangat berpasukan bagi menangani sebarang ujian.” katanya lagi.

Dalam majlis ini turut disampaikan watikah pelantikan kepada tujuh (7) orang Pengarah Kolej Komuniti.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti