MESKIPUN telah menamatkan pengajian di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak, namun Izwan Helmi Mohd. Mokhtar, 42, masih menyimpan pelbagai kenangan di institusi pengajian tinggi itu.
Dia yang juga merupakan salah seorang alumni PUO kini kembali menabur bakti di situ dengan membuka sebuah kafe iaitu Kafe Dellamar yang beroperasi di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, (PUO) sejak 24 November lalu.
Izwan Helmi berkata, idea bagi penubuhan kafe berkenaan tercetus apabila dia yang mengetuai sekumpulan pelajar semester 4, Diploma Pengajian Perniagaan (DPM) mewakili PUO dalam Program Francais Siswa 2021.
Ujarnya, kumpulan itu berjaya merangkul tempat ketiga dalam program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Persatuan Francais Malaysia tersebut.
“Menerusi program berkenaan, jenama Dellamar Brownies & Coffee pertama kali diperkenalkan melalui pertandingan itu. Ia seterusnya membawa kepada tercetusnya penubuhan Kafe Dellamar ini. Ia secara tidak langsung meneruskan hubungan saya dengan PUO dan tidak terhenti apabila saya menamatkan pengajian di politeknik ini,” katanya.
Kafe tersebut dimiliki bersama dengan isterinya, Farahdila Miskam, 42, yang berkongsi minat sama terhadap industri makanan dan minuman (F&B). Sementara itu, konsep yang diketengahkan di Kafe Dellamar adalah pelbagai variasi makanan. Namun, antara menu yang mendapat perhatian ramai adalah barisan brownie yang ditawarkan di premis tersebut.
Izwan Helmi menjelaskan, mereka berpengalaman menghasilkan aneka brownie yang turut dijual di Dellamar Brownies & Coffee di Poly Biz Mall di PUO, sebelum diteruskan di Kafe Dellamar.
“Pada peringkat awal, kami bermula dengan lima perisa, antaranya coklat cip, Nutella, salted caramel. Namun, disebabkan permintaan amat menggalakkan terhadap brownie, kami kini menjual kira-kira 25 perisa makanan tersebut. Brownie ini kami hasilkan sendiri 100 peratus pada setiap hari. Dalam sehari, antara 40 hingga 50 brownie dijual dengan pelanggan kami bukan terdiri daripada warga PUO sahaja, bahkan orang luar,” jelasnya.
Tambahnya, selain brownie, mereka menjual aneka pastri, antaranya sosej roll, chicken puff, serta menu Barat lain seperti mac n cheese, cottage pie, spaghetti bolognese, aglio olio dan carbonara.
Mengulas lanjut, dia berkata, kafe yang dibuka seawal pukul 8 pagi sehingga 6 petang itu mampu menempatkan sehingga 70 orang pelanggan pada satu-satu masa. Purata pelanggan setiap hari adalah sekitar 50 hingga 60 orang sewaktu kalender akademik sedang berlangsung.
Katanya, Kafe Dellamar dibantu oleh tiga orang pekerja dengan seorang daripadanya turut merupakan alumni PUO.
“Di kafe ini juga, dua daripada tiga pekerja kami memainkan peranan sebagai barista. Salah seorang daripadanya berpengalaman bekerja di sebuah kedai kopi berjenama terkemuka,” katanya.
Menurut Izwan Helmi, sebelum kafe tersebut dibina, mereka mengadakan kajian terlebih dahulu mengenai reka bentuk dalamannya. Jelasnya, beberapa premis kopi berjenama dijadikan rujukan seperti Richiamo Coffee, Zus Coffee dan Tealive. Katanya, mereka juga mendapatkan input berhubung rekaan dalaman Kafe Dellamar menerusi laman web, Pinterest.
“Kos bagi membuka kafe ini menelan belanja sekitar RM80,000. Kerja-kerja pembinaan premis ini telah bermula pada 1 Oktober 2023 dan 24 November menjadi tarikh Kafe Dellamar mula beroperasi. Kami berpuas hati kerana terlibat secara langsung dalam kerja-kerja membangunkan kafe ini seperti mengecat dan pencahayaan,” ujarnya.