Isu lambakan sisa makanan dari bazar Ramadan adalah antara topik menjadi perbualan masyarakat susulan lambakan sisa makanan yang tidak habis dimakan sepanjang bulan puasa ini.
Pelbagai seruan meminta pengguna merancang secara bijak membeli juadah berbuka puasa supaya tiada lambakan sisa makanan, tetapi bagaimana dengan lebihan makanan dijual peniaga.
Hakikatnya, lebihan makanan tidak dijual dan terpaksa dibuang turut mewujudkan isu baharu dalam pengurusan sisa makanan negara.
Terdapat beberapa usaha dilakukan pihak tertentu untuk membantu mengurangkan lebihan jualan makanan dengan cara membeli serta mengagihkannya kepada kumpulan masyarakat sasaran masing-masing. Namun begitu usaha lebih komprehensif perlu dilaksanakan supaya isu ini dapat diuruskan secara tuntas.
Isu lambakan makanan tidak habis dijual boleh dilihat bertitik tolak kepada isu pokok, iaitu permintaan dari pembeli serta penawaran daripada penjual makanan. Hukum asas ekonomi ini wajar difahami penjual makanan.
Sebarang penawaran makanan melebihi permintaan akan mewujudkan lebihan makanan tidak habis dijual. Sepatutnya, peniaga sudah boleh memahami corak pembelian pengguna, sekali gus menentukan jumlah makanan hendak dijual setiap hari.
Kuantiti yang wajar disediakan serta strategi peletakan harga makanan digunakan perlu dilihat dan disesuaikan dengan isyarat pasaran. Peniaga boleh melihat sama ada harga dikenakan itu mesra pasaran pengguna atau menjadi faktor penolak kepada produk masing-masing.
Strategi meletak harga penembusan iaitu menetapkan harga pada kadar mampu beli akan menentukan permintaan produk makanan, seterusnya membantu peniaga mengelak daripada terperangkap dengan isu lambakan makanan tidak habis dijual.
Begitu juga dengan kualiti makanan disediakan, ia perlu memenuhi selera atau permintaan pengguna. Pasaran makanan di bazar Ramadan boleh disifatkan anjal sama ada menjadi lesu atau aktif secara tiba-tiba. Besar kemungkinan, permintaan makanan menjadi aktif pada minggu pertama tetapi beransur-ansur lesu minggu seterusnya.
Keghairahan pengguna membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan semakin menurun akibat pelbagai isu seperti harga tidak sepadan dengan kualiti atau kuantiti makanan dibeli.
Bermakna, peniaga mempunyai masa mencukupi mengkaji trend pembelian dan permintaan makanan dibeli pengguna. Lazimnya, pengguna akan memilih dan membeli juadah pada harga dan kualiti makanan bersifat rahmah.
Pada masa yang sama, peniaga juga perlu melakukan tindakan alternatif dalam menguruskan sisa makanan tidak habis dijual seperti mencari peluang baharu perniagaan yang mungkin ada untuk menjana tambahan bagi menanggung kerugian.
Antara peluang baharu boleh diterokai adalah dalam bidang penghasilan baja kompos. Makanan tidak habis dijual boleh ditukar menjadi sumber pendapatan alternatif dengan penghasilan baja kompos.
Peniaga boleh menguruskan sisa makanan dengan memprosesnya menjadi baja kompos secara sendiri atau melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta industri.
Menerusi pendekatan ini, usaha untuk melestarikan pengurusan sisa makanan bazar Ramadan dapat diperkasakan manakala konsep sifar sisa lebihan jualan makanan dapat dicapai, sekali gus mewujudkan satu ekosistem hijau lebih mampan.
Artikel ini juga diterbitkan di:
Berita Harian, 15 Mac 2024
Penulis :
Dr. Yusrizal Sufardi Mohd Yunan
Pensyarah Kanan
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin
Prof. Madya Dr. Mohd Helmi Ali
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi)
UKM-Graduates School of Business
Universiti Kebangsaan Malaysia