suara.tv, 15 Ogos 2024
Nurul Amirah Masarah (Kak Teh) pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bersama bapanya Muslim Jabidin, tular di media sosial, TikTok dengan 5.7 juta view – Foto mStar
JITRA – Video Nurul Amirah Masarah Muslim, pelajar baharu Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) cepat menjadi viral, mencapai 5.7 juta views hingga saat ini di media sosial, TikTok.
Nurul Amirah Masarah yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Kak Teh’, dalam keluarganya merupakan anak kelima dari tujuh orang adik beradik hasil dari perkahwinan Muslim Jabidin dengan Sharifah Jusoh.
Menerusi satu kenyataan POLIMAS, berkata, Tik Tok yang bertajuk , ‘Bapa gagah diri bangun dari kerusi roda sebelum lepas anak masuk kolej, berjurai air mata saat not RM50 dikeluar dari dompet’ yang berdurasi 43 saat.
“Tik Tok ini menjadi viral apabila kakaknya, Nurul Ain Natasha memuatkan video Nurul Amirah Masarah dengan menulis, ‘belajar elok-elok Kak Teh’, di ruangan kapsyen video, seterusnya dicapai oleh salah satu media perdana ternama hingga menyebabkan ianya menjadi viral.
“Orang ramai berasa terharu apabila bapanya Muslim yang bekerja sebagai pembantu peniaga menghidapi minor strok sebelah kanan badan, bangun dengan bersusah payah sambil menghulurkan wang RM 50.
“Pelbagai komen positif menyentuh hati telah dikongsi oleh pengguna akaun Tik Tok yang memberikan motivasi positif kepada Nurul Amirah Masarah untuk belajar bersungguh-sungguh demi membantu keluarga,” kata kenyataan itu.
Nurul Amirah Masarah berasal dari Puchong, Selangor belajar di SMK Taman Yar, mendapat 1A dan kredit dalam 8 subjek lain dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudiannya ditawarkan oleh POLIMAS dalam Diploma Teknologi Maklumat.
“Saya memilih POLIMAS kerana persekitarannya yang menarik , yurannya yang murah serta selesa disini, pensyarah pula sangat membantu dalam pembelajaran disini”.
“Saya memilih bidang ini kerana peluang pekerjaan yang luas serta seronok belajar dengan menggunakan komputer dan bercita-cita ingin menjadi Guru Teknologi Maklumat kelak,” kata Nurul Amirah Masarah.
Bila ditanya mengenai dirinya viral di Tik Tok, beliau amat terkejut dan sebak.
“Atas nasihat yang diberikan oleh netizen, saya amat menghargainya dan berjanji kepada akan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya berharap rakan-rakan di sini tidak berputus asa untuk belajar dan terus berusaha untuk mendapatkan segulung kejayaan diiringi dengan doa kepada Allah SWT, selebihnya kita serahkan pada takdir dan ketentuan-Nya,” katanya lagi.
Susulan daripada itu, POLIMAS telah menghulurkan sumbangan wang zakat sebanyak RM 200, telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Mohd Zahari Ismail kepada Nurul Amirah Masarah dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini. – SUARA.TV