Ipoh, 27 September 2024 – Jabatan Sukan, Kokurikulum & Kebudayaan dengan kerjasama Kelab Lantera Seni PUO telah menerima kunjungan balas rakan kolaborasi strategik Kantan Drum Circle (KANDORA) pada 27 September 2024. Antara objektif lawatan Kandora ke PUO adalah bagi berkongsi ilmu dan pemahaman konsep perpaduan “Hormat” & “Harmoni” dalam pergendangan komuniti.
Kunjungan Balas Kandora ini melibatkan ahli kelab di bawah naungan Lantera Seni iaitu; Vibrant Percussion (Perkusi), PolyVibes (Band), Halawa & Abyana Voice (Nasyid), Republic of Symphony (Stompers), Warisan Pusaka (Dikir Barat) dan Gema Budaya (Kompang & Gamelan). Program ini turut dibuka kepada pelajar-pelajar Politeknik Ungku Omar yang berminat untuk mempelajari ilmu pergendangan komuniti.
Program dimulakan dengan sesi ucapan Ketua Jabatan Sukan Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK), Encik Khairuddin Bin Mohd Rosli serta tayangan montaj Lantera Seni PUO diikuti sesi pengenalan bersama pihak Kandora yang diketuai oleh pengasasnya Encik Ahmad Zufar Bin Mohd Adzahan. Seterusnya, perkongsian ilmu pergendangan oleh pihak Kandora diadakan secara santai dengan mengadakan demonstrasi bersama pelajar Politeknik Ungku Omar menggunakan alatan asas perkusi seperti baldi dan senduk. Sesi pergendangan ini diiringi dengan nyanyian lagu rakyat iaitu ‘Nenek nenek si bongkok tiga’ dan juga diiringi dengan lagu perpaduan yang bermesej ‘Fikirkan Boleh’ dan ‘Standing in the Eyes of the World’.
Menurut pengasas Kandora, aktiviti yang bersifat mengumpulkan komuniti ini dapat menunjukkan nilai seni penyusunan melodi dengan hanya mengetuk senduk dan baldi bersama formasi alat muzik yang lain menjadikan ia sesuatu yang unik dan boleh dipersembahkan secara spontan.
Kunjungan pihak Kandora diakhiri dengan perbincangan hala tuju kolaborasi antara pihak Kandora dan Politeknik Ungku Omar bersama Ketua Jabatan JSKK, Encik Khairuddin Mohd Rosli Pegawai Kebudayaan PUO, Puan Nurul Huda Ahmad Thalhah, Penasihat Nasyid dan Perkusi Ustazah Nur Afifah Saharuddin dan Encik Muhammad Ihsan Fazdil (Wakil Kandora), Penasihat Stompers Encik Muhamad Fairus, Presiden Kelab Lantera Seni Saudara Wan Akhmal Adha Roslan (JKE) dan Pengerusi Vibrant Percussion, Saudara Danish Iqbal Ishar (JKE).
Sejajar dengan KPI ke 4 Politeknik Ungku Omar (Pembangunan Program Pelajar Berciri Holistik), diharapkan jalinan kolaborasi antara Kandora dan Politeknik Ungku Omar dapat menghasilkan kemenjadian pelajar yang lebih seimbang akademik dan kokurikulum di samping dapat menghasilkan graduan yang dapat menyumbang kepada komuniti, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta berdaya saing mengikut keperluan industri.