Karnival Akademia menyemarakkan semangat inovasi pelajar

POLITEKNIK KOTA KINABALU
11 July 2023
Aktiviti Pelajar

24 Mei 2023 , Kota Kinabalu – Karnival Akademia anjuran Jabatan Perdagangan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) menerima penyertaan sebanyak 50 projek inovasi pelajar.

ProjeX-26 menjadi kemuncak karnival ini dengan penyertaan kumpulan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Kumpulan projek Anchovies Sieve 2.0 daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang dianggotai oleh Abdul Qayyum Muri, Muhd Nabil Najwan, Muhd Aidil Idhwan, Nur Kamalin Sofiya di bawah seliaan Aliudin Aziz telah dinobatkan Projek Terbaik membawa pulang RM500 tunai.

Melalui tema ‘Empowering TVET’S Transition to Green Technology and A Sustainable Gig Economy’ Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan dalam ucapan perasmiannya berkata Karnival Akademia Sesi II 2022/2023 sangat penting dalam mempromosikan teknologi, inovasi dan kreativiti khususnya di negeri Sabah.

“Saya percaya, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu diarusperdanakan supaya menjadi pilihan utama pelajar,” tambah Hashim.

Pengarah PKK Dullah Muluk berkata, perancangan yang teliti dan rapi dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan pelaksanaan setiap aktiviti pelajar mampu mencapai objektif utama dalam penganjurannya.

“Perancangan yang berterusan dengan mengambil kira kehendak pasaran dan memenuhi tuntutan ekonomi negara diharap dapat meningkatkan kewibawaan lepasan TVET terutama dalam kalangan pelajar PKK,” tambah Dullah.

­­­­­Anugerah Jabatan Terbaik telah dimenangi oleh Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti. Seramai 24 juri diketuai oleh Ricky Lim Vui Sin, Pengarah Urusan Borneo Advanced Technology Consulting Sdn. Bhd., telah mengadili keseluruhan projek pelajar yang dipertandingkan.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti