Karnival keusahawanan Kolej Komuniti Ampang dedah pengalaman perniagaan dunia nyata

KOLEJ KOMUNITI AMPANG
12 September 2024
BERITA, Komuniti

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2024 – Karnival Keusahawanan Empowerment Bakat 2024 anjuran Kolej Komuniti Ampang berjaya memberi pendedahan dunia perniagaan sebenar kepada peserta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan para pelajar.

Menerusi karvinal itu, para peserta berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dan kreatif yang telah mereka pelajari di samping mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam perniagaan.

Terdapat pelbagai gerai yang menjual produk-produk produk unik, termasuk pastri dan kek buatan tangan oleh peserta PSH, makanan dan minuman istimewa serta cenderamata yang dihasilkan menggunakan teknologi pemotongan laser.

Para peserta diberi peluang untuk merancang dan melaksanakan operasi perniagaan, menjalankan aktiviti pemasaran dan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Hasilnya, pelajar lebih bersedia dan yakin untuk menghadapi cabaran dunia perniagaan sebenar dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang dinamik pasaran.

Acara yang dipenuhi dengan elemen kompetitif ini turut menampilkan penilaian gerai oleh panel hakim profesional, termasuk kakitangan dan pensyarah dari Kolej Komuniti Ampang.

Beberapa anugerah utama seperti ‘Anugerah Gerai Kreatif,’ ‘Anugerah Promosi Efektif,’ ‘Anugerah Jualan Terbaik,’ dan ‘Anugerah Kreatif Khas’ telah diberikan kepada peserta yang menonjol dalam keunikan dan kualiti perniagaan mereka.

Menariknya, para pengunjung juga diberi peluang untuk menyertai proses penjurian, menyumbang 10% kepada keputusan akhir menjadikan karnival ini lebih inklusif dan interaktif.

Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Empowerment Bakat 2024 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Ampang, Dr. Salwa Yunus yang menyatakan sokongan padu beliau terhadap inisiatif ini dalam memupuk usahawan muda tempatan.

Majlis penutupan pada sebelah petang pula berlangsung dengan meriah, dengan pengiktirafan diberikan kepada para peserta yang mempamerkan semangat dan bakat keusahawanan yang luar biasa. Karnival ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kemahiran keusahawanan, tetapi juga membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan apabila diberikan peluang dan sokongan yang tepat.

Melalui program seperti ini, Kolej Komuniti Ampang terus komited untuk membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh komuniti, menjadikan karnival ini sebagai pemangkin untuk lebih banyak inisiatif keusahawanan pada masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti