17 Mei 2023, Kota Bharu : Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Zainab Othman telah merasmikan Majlis Penutup Karnival TVET@PolyCC yang telah berlangsung mulai 15 hingga 17 Mei 2023. Majlis ini telah berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu (PKB).
Karnival anjuran PKB bersama Persatuan Alumni PKB telah mengadakan pelbagai acara dan program bagi memeriahkan karnival ini antaranya Pertandingan Inovasi TVET, Pertandingan Drone TVET, Pertandingan e-Sport, Pertandingan Kebudayaan, CSR @Karnival TVET, Program Promosi Kesihatan, Persembahan Kebudayaan, Seminar Keusahawanan, Gerai Keusahawanan, Netball 3 on 3, Colour Run, Street Soccer, Aero – Big, Pameran Dron.
Ts. Zainab binti Othman berkata, sistem pembelajaran berbekalkan teori semata-mata sudah tidak relevan dan tidak mampu memberi kelebihan kepada golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan.
“TVET atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional merupakan satu sistem pendidikan yang menggarapkan kombinasi ilmu pengetahuan serta latihan kemahiran untuk menyediakan tenaga kerja yang kompeten, terlatih serta berkemahiran tinggi sepertimana tuntutan industri”, katanya lagi.
“Karnival TVET@POLYCC dilihat amat bertepatan dengan situasi semasa kerana tuntutan kemahiran yang tinggi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 adalah begitu ketara. Proses penjenamaan semula bidang pekerjaan yang dilabel sebagai 3D iaitu kotor, sukar dan berbahaya adalah penting supaya dilihat sebagai suatu lubuk pekerjaan yang mempunyai nilai dan potensi untuk diceburi oleh modal-modal insan berkemahiran tinggi keluaran institusi TVET Malaysia”, ujarnya lagi.
Menurut Pengarah PKB, Sr Hj Mohd Fikri Ismail, berkata beliau turut tidak menyangka penyertaan Pertandingan Inovasi TVET mendapat sambutan yang tinggi.
“Pertandingan Inovasi TVET yang berobjektifkan melahirkan para pelajar yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi serta membudayakan inovasi telah menerima penyertaan sangat mengalakkan dan berjaya mengumpulkan 36 kumpulan iaitu melibatkan 158 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar institusi TVET antaranya politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) serta Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sekitar negeri Kelantan dan Terengganu”, katanya.
Majlis penutup ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Akademik, Pengarah – Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan dan Terengganu, Ketua-ketua jabatan, Ketua-ketua unit serta pegawai-pegawai kanan PKB.