Kekurangan diri bukan penghalang untuk berjaya

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
18 January 2024
Umum

8 September 2023, Bukit Mertajam – Ahmad Wazif Syakirin bin Zainal, 25, yang mengalami masalah saraf sejak lahir, berkata kekurangan diri bukanlah penghalang dan tidak boleh dijadikan alasan untuk berjaya.

Buktinya, walaupun pergerakan fizikal tidak sesempurna rakan-rakan lain, dia mampu menamatkan pengajian dengan jayanya dan memperolehi Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) hari ini.

Menurut anak bongsu daripada 3 beradik yang berasal daripada Butterworth, Pulau Pinang ini ayahnya bekerja sendiri manakala ibunya suri rumahtangga.

Mengulas lanjut tentang pengajiannya dalam bidang Teknologi Maklumat ini dia merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tidak lama lagi. Dan berharap pelajar-pelajar lepasan SPM di luar sana supaya menyambung pengajian untuk menjamin masa depan yang cerah.

Menurut bapanya, Zainal, 59, Wazif seorang anak yang tidak mudah putus asa dan dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh anaknya dan akan sentiasa memberi sokongan dalam apa juga yang diceburi oleh Wazif pada masa hadapan.

Penganjuran Majlis Konvokesyen (PSP) Ke-22 dengan tema ‘PSP Unggul Memacu Aspirasi TVET Berkualiti’ ini menyaksikan seramai 1,951 graduan bagi 13 program termasuk Diploma Profesional menerima diploma masing-masing pada kali ini. Konvokesyen kali ini juga disambut dengan sambutan 25 tahun Jubli Perak Politeknik Seberang Perai.

Pengarah PSP, Roseliza Dato’ Shaari, berkata bagi memastikan graduan yang dilahirkan oleh PSP sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, kolaborasi bersama industri sentiasa dipergiat supaya kurikulum yang ada di PSP bersifat ‘Industry Driven Curriculum’ dan graduan yang tamat pengajian di PSP mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

“Terbukti hari ini dalam tempoh 25 tahun jubli perak, PSP telah melahirkan lebih 36,000 graduan di mana kadar kebolehpasaran graduan PSP sendiri adalah melebihi 90 peratus berturut-turut untuk 5 tahun dan majoriti graduan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian atau membuka perniagaan sendiri.

“Justeru tema yang dipilih kali ini amat bertepatan dengan kualiti pencapaian yang telah dikecapi,” katanya.

Wazif bersama ibu dan bapanya usai di luar Dewan Seri Mutiara, PSP

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti