
KULIM – Langkah proaktif bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasa apabila Agensi Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Kedah mengadakan kunjungan hormat ke Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim semalam.
Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pihak berbincang secara mendalam mengenai potensi kerjasama strategik bagi menyokong keperluan tenaga kerja industri, khususnya di negeri-negeri utara seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara.
Menurut Pengarah MIDA Kedah, Encik Mohd Rushdan Mohd Ghazali, cabaran kekurangan tenaga mahir sering menjadi antara isu utama yang dibangkitkan oleh pelabur.
“Pelabur bukan sahaja melihat insentif atau lokasi strategik tetapi juga ingin memastikan terdapat bekalan tenaga kerja mahir yang mencukupi. Di sinilah peranan institusi seperti PTSB sangat penting,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan kolaboratif antara agensi pelaburan dan institusi TVET mampu mengurangkan jurang kemahiran serta meningkatkan daya saing Wilayah Utara sebagai hab pelaburan.
Sementara itu, Pengarah PTSB, Hj. Mohd Ruzi bin Hamzah berkata, PTSB sentiasa bersedia memperkukuh hubungan dengan pihak industri bagi menjamin kebolehpasaran graduan.
“Kami komited melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan teknikal tetapi juga bersedia menghadapi realiti industri. Kerjasama bersama MIDA membolehkan kami mengenal pasti keperluan sebenar pasaran dan menyesuaikan pendekatan pendidikan kami,” jelas beliau.
Antara cadangan utama yang dikemukakan termasuklah pelaksanaan kempen kesedaran TVET kepada masyarakat, penambahbaikan kurikulum secara berterusan dengan libat urus industri serta peningkatan fasiliti dan latihan untuk tenaga pengajar.
Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah holistik dan inklusif dalam memastikan institusi TVET seperti PTSB terus relevan serta menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi Wilayah Utara melalui penyediaan tenaga kerja mahir yang berkualiti.