2 April 2024, Jelebu – Bulan Ramadan adalah bulan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda dalam beribadah bagi umat Islam. Umat Islam sentiasa disarankan mengambil peluang melakukan pelbagai amalan sunat seperti menunaikan solat tarawih, memperbanyakan sedekah dan menjamu orang berbuka puasa disamping meneruskan amalan-amalan wajib.
Membaca Al-Quran juga amat digalakkan di bulan mulia ini. Justeru, pada tahun ini Kelab Staf Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) sekali lagi mengambil peluang mengimarahkan bulan Ramadan dengan Program Tadarus Al-Quran yang disertai oleh semua staf KKJU bermula 1 Ramadan yang lalu.
Seterusnya Kelab Staf KKJU bekerjasama dengan Unit Pengajian Am, Unit Hal Ehwal Pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di lobi utama KKJU. Majlis dimulakan dengan solat zuhur secara berjemaah, diikuti khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Syed Muhammad Nur Azman Syed Ahmad dan seterusnya sesi ceramah bertajuk ‘Al-Quran Pendamping Hidup Ku’ yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Ustaz Tengku Nor Iftah Tengku Jamil.
Majlis ini disertai oleh semua warga KKJU yang bertujuan untuk merapatkan ukhwah selain menjadi ruang untuk mengimarahkan bulan Ramadan serta menjadikan Al-Quran sebagai pendamping sepanjang masa.
Dalam majlis sama, Kelab Staf KKJU turut menyampaikan sumbangan kepada staf yang ditimpa musibah dan berpindah baru-baru ini. Selain itu, sumbangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan juga disampaikan oleh pihak pengurusan hasil daripada kutipan sumbangan staf KKJU bermula sejak awal Ramadan bagi membantu persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pengurusan KKJU, Ahmad Fairil Azarin Asrapil dan Timbalan Pengarah Akademik, Mohamad Izwan Ayob.