Kemasukan pelajar baharu ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah melonjak lebih 30 peratus

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
30 July 2024
BERITA, Umum

Shah Alam, 29 Julai 2024 – Lebih 30 peratus peningkatan kemasukan pelajar baharu ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) bagi sesi akademik 1 2024/2025 berbanding sesi akademik 1 2023/2024.

Seramai 1,033 pelajar baharu mendaftar pada hari pertama sesi pendaftaran pelajar dan dijangkakan jumlah tersebut akan meningkat berdasarkan statistik UPU seramai 1,288 setuju menerima tawaran.

Menurut Pengarah PSA Zainah Rujihan, peningkatan tersebut mencerminkan politeknik sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasinal (TVET) semakin menjadi pilihan dan diyakini oleh para pelajar serta ibu bapa.

“Ia merupakan satu lonjakan yang besar selaras dengan hasrat kerajaan. Justeru, saya berharap para pelajar sekalian ambillah peluang ini dan belajar dengan bersungguh-sungguh, rebut segala peluang dan ruang yang kita sediakan di sini” ujarnya ketika melihat proses pendaftaran yang diadakan di Dewan Al Jazari di sini hari ini.

Bagi Puteri Adriana Batrisyia Mohd Zulkulnain,18, beliau memilih program Diploma Pemasaran kerana minat terhadap bidang perniagaan dan pemasaran terutamanya menerusi platfrom e-dagang.

“Politeknik ini bagus, dari segi peluang pekerjaan luas selain akademik yang berkualiti. Saya rasa teruja sangat dapat masuk ke PSA dan disambut dengan mesra.

Beliau yang merupakan OKU fizikal sempat berkata kekurangan fizikal bukanlah halangan untuk berjaya.

“Pesan saya pada semua dan diri saya sendiri, buatlah yang terbaik walaupun ada kekurangan. Yang penting jangan berhenti belajar.”

Sementara itu ibunya, Wan Hasimazlinda Wan Mazlan,41, berkata beliau bersama keluarga memilih politeknik kerana yakin dengan institusi tersebut di samping graduan yang mudah mendapat pekerjaan.

“Kami berbincang sebenarnya sebab dia mendapat tawaran ke tingkatan enam tapi kami lebih memilih politeknik.”

Semua pelajar baharu yang mendaftar di PSA perlu menjalani Minggu Haluan Siswa (MHS) selama seminggu sebelum kelas bermula.

MHS yang berkonsepkan orientasi wajib dijalani para pelajar baharu sebagai proses persediaan dan pendedahan mengenai alam pendidikan, budaya dan aspek pembinaan sahsiah di politeknik.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti