
Nilai, 28 Julai 2025 – Politeknik Nilai hari ini menerima kehadiran tiga beradik kembar tidak seiras yang mencuri perhatian ketika sesi pendaftaran pelajar baharu sesi 2025/2026. Kembar tiga ini — Muhammad Shahir Daris bin Shahril, Muhammad Irfan Darwisy bin Shahril, dan Aqmar Batrisyia Dayana binti Shahril — tampil unik apabila masing-masing mendaftar dalam program dan jabatan yang berbeza.
Muhammad Shahir Daris memilih untuk menyambung pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekatronik (DEM) di bawah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), mencerminkan minatnya dalam bidang teknologi automasi dan robotik. Sementara itu, Muhammad Irfan Darwisy memilih Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS) di bawah Jabatan Perdagangan, selari dengan cita-citanya untuk menceburi industri perniagaan global. Manakala satu-satunya anak perempuan dalam kembar tersebut, Aqmar Batrisyia Dayana, menyambung pengajian dalam Diploma Bioteknologi (DBT) di bawah Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri (JAB), didorong oleh minatnya terhadap sains dan kajian makmal.
Ketiga-tiga mereka merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama (1) (SMKPU (1)) merupakan antara 698 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Nilai bagi kemasukan Sesi I: 2025/2026. dan komited untuk menimba ilmu serta pengalaman baharu dalam bidang masing-masing.
Apa yang lebih membanggakan, abang sulung mereka, Muhammad Shakhawi Danish bin Shahril merupakan alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor yang sedang menunggu keputusan UPU untuk menyambung pengajian dalam ijazah di mana-mana Institut pengajian awam (IPTA), beliau menjadi inspirasi dan pembakar semangat utama kepada adik-adiknya untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal.
“Politeknik banyak membentuk siapa saya hari ini. Saya yakin adik-adik saya juga akan mendapat manfaat yang sama dan lebih lagi di Politeknik Nilai,” kata Shakhawi yang turut hadir menemani adik-adiknya semasa pendaftaran.
Kisah kembar tidak seiras ini bukan sahaja mencerminkan keunikan pelajar baharu tahun ini, malah membuktikan bahawa Politeknik Nilai terus menjadi pilihan utama dalam menyediakan pendidikan TVET yang berkualiti, merangkumi pelbagai disiplin ilmu serta melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.
Sementara itu dalam kenyataan sama memaklumkan dengan kemasukan 698 pelajar baharu untuk Sesi I: 2025/2026, PNS menyaksikan peningkatan minat terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).