Keputusan Sijil pelajaran Malaysia : Rahmat Allah terlalu luas

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
07 April 2026
Harian Metro, KERATAN AKHBAR, RENCANA

Dalam sehari dua ini paparan media cetak, media digital dalam pelbagai bentuk mahupun perbualan harian masyarakat awam lebih terarah kepada keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2025 yang merekodkan pencapaian tertinggi dalam tempoh lima tahun ini.

Hakikat itu sekali gus menunjukkan dan membuktikan upaya daya tahan tinggi calon SPM tahun lalu memandangkan mereka adalah kohort atau generasi sulung yang tidak menduduki peperiksaan utama di peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu sebaik sahaja UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Saya sendiri sempat berada di Dewan Besar SMK Muadzam Jaya, di pesisir bandar Muadzam Shah ini dan berkesempatan menyaksikan bagaimana riuh-rendah suasana apabila calon SPM mendapat slip keputusan SPM. Gembira hingga melompat keriangan bagi yang mendapat kejayaan cemerlang.

Tetapi, dalam itu ada juga saya melihat segelintir calon yang kurang ceria, tetapi ‘berpura-pura’ ria sekadar mahu menahan sedih hati melihat pada kertas slip catatan keputusan yang agak kurang memuaskan. Saya hadir bukan kerana ada anak yang menerima keputusan SPM, tetapi sekadar menemani sahabat jiran saya yang beria-ria pergi bersamanya.

Alhamdulillah syukur, anak sahabat jiran saya itu memperoleh keputusan yang membanggakan dengan 7A, 1B dan 1C. Saya dapat melihat di depan mata saya bagaimana sahabat saya itu memeluk erat beriringan linangan air mata kerana terlalu gembira dengan keputusan SPM yang diperoleh. Saya tumpang gembira kerana kejayaan anak beliau boleh menjadi sumber inspirasi buat anak saya, Amna Fahimah yang bersekolah SMKA (Pahang), Muadzam Shah itu dan bakal menduduki SPM tahun ini.

Dalam menghadap suasana penuh riang dan gelak tawa kegembiraan, lensa mata saya sempat menoleh juga ke arah mereka yang sedikit hambar air mukanya. Saya sudah dapat mengagak apa keputusan yang mereka terima. Malah, ada ibu bapa yang anak mereka kurang elok keputusannya bergegas meninggalkan dewan sekolah dengan meninggalkan si anak keseorangan menanggung beban duka kecewa.

Semua episod dalam suasana di dewan besar sekolah itu benar-benar meninggalkan hikmah dan ibrah buat diri saya. Pertama, sebagai ibu bapa, seharusnya kita reda dengan setiap ketetapan Allah, sama ada keputusan yang diterima oleh anak kita cemerlang ataupun sebaliknya. Andainya anak kita beroleh catatan keputusan yang cemerlang, raikan dia.

Namun, seandainya anak kita kurang cemerlang maka usah sesekali kita menambah beban kecewa hati anak dengan menunjukkan muka yang muram durja. Peluk anak kita seeratnya dan bisik dengan ungkapan kata penuh lembut.

Katakanlah, “Abi tahu yang kamu sudah melakukan apa yang termampu. Kita hanya boleh berusaha, berdoa dan tawakal kepada Allah, namun segalanya terletak kepada ketetapan yang Dia putuskan. Jangan putus asa kerana keputusan SPM kamu ini bukan bermakna yang kamu sudah gagal untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. Tidak wahai anakku…!

“Mungkin dalam bidang subjek akademik kamu sedikit terkebelakang, tetapi kamu Abi rasa masih ada ruang dan peluang untuk menyambung dalam jurusan TVET. Anakku, rahmat Allah terlalu luas. Usah kamu banding-bandingkan keputusan SPM kamu itu dengan rakan-rakan yang jauh lebih baik. Jangan sesekali…

“Abi tidak mahu sama sekali melihat kamu mengalah dengan takdir yang agak mengecewakan kamu, sebaliknya Abi yakin kamu, wahai anakku mampu pergi jauh dalam TVET mahupun aspek pendidikan lain. Hendak seribu daya anakku…”

Bualan bermonolog itu bermain-main dalam benak fikiran tatkala melihat ada kalangan calon SPM yang bermuram kecewa dengan apa yang diperolehnya.

Sebolah-bolehnya, secara peribadi saya tidak ingin melihat adanya kalangan ibu bapa yang naik angin dengan marah-marah sebaik sahaja si anak masuk dalam rumah. Dahlah hati anak dirundung duka, ditambah pula dengan herdikan dan sindiran pedas daripada ibu bapa sendiri.

Usah sesekali jadikan rumah sebagai bangunan mahkamah yang menjatuhkan hukuman kepada anak yang gagal mencapai keputusan cemerlang dalam apa pun peperiksaan. Ingat wahai ibu bapa yang dikasihi semua…! Kita juga tidak sepatutnya menjadikan kejayaan cemerlang anak orang lain seperti anak jiran tetangga, anak saudara-mara kita mahupun anak-anak sahabat kita sebagai bandingan dengan apa yang anak peroleh.

Saya sendiri berpengalaman menghadapi keputusan UPSR anak sulung saya, Ahmad Fauwaz yang begitu menyedihkan saya. Tetapi, Alhamdulillah syukur saya dilindungi Allah untuk bertindak di luar hikmah, sebaliknya saya peluk putera saya itu lama-lama seeratnya sambil berbisik kepadanya, “Fauwaz, jangan sedih dengan keputusan ini kerana Abi percaya Fauwaz boleh menebus kembali kegagalan ini semasa menghadapi SPM nanti. Jadikan kegagalan yang ini sebagai pendorong kuat untuk Fauwaz berjaya cemerlang dalam SPM kelak.”

Saya lihat air muka anak saya itu kembali berubah dengan sedikit senyuman, mungkin dia sedar yang saya tidak menyalahkan takdir, apa lagi untuk memarahinya. Kemudian, anak saya itu diterima masuk ke tingkatan satu aliran arab di SMK Muadzam Shah (SemSHAH) dan setiap perkembangan pembelajarannya saya ikuti dengan penuh rapi agar dia terus bersemangat tinggi untuk mencapai apa yang dia impikan iaitu menyambung pelajaran ke universiti.

Tahun demi tahun, sampai masanya dia menduduki SPM dan saya kekal beristiqamah berdoa untuk kejayaan putera sulung saya itu. Alhamdulillah syukur, selama saya menanti, akhirnya keputusan SPM diumumkan.

Hati saya sarat dengan debaran kencang kerana bimbang, yang duka kembali berulang, tetapi saya tetap berdoa kepada Allah agar Dia mengurniakan sesuatu yang menggembirakan anak saya. Sebaiknya sahaja kertas slip keputusan SPM diserahkan oleh guru yang bertugas, dia melompat keriangan sambil tangannya menadah kesyukuran kepada Allah.

Dia terus menuju saya lalu memeluk dengan penuh hiba saya berkata, “Abi, terima kasih Abi, terima Umi kerana sentiasa mendoakan kejayaan Fauwaz selama ini. Benar kata Abi dulu, kegagalan dapat menjadi pendorong kuat untuk menebus apa yang mengecewakan sebelum ini.”

Kegembiraan datang sekali lagi apabila anak saya itu menerima tawaran menyambung pelajarannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Sesekali ada juga saya menjenguhnya di kampus dan selalu berpesan, “Fauwaz, ingatlah kejayaan tidak datang bergolek, kecemerlangan tidak datang melayang. Segalanya perlu diusahakan.” Kini, anak saya itu, Ahmad Fauwaz berada di semester tiga.

Saya menceritakan kembali apa yang dialami oleh putera kesayangan saya bukan untuk mendabik dada riyak takbur. Tidak terlintas langsung macam itu, sebalik sekadar berkongsi bicara hati bahawa kita seharusnya sentiasa berada di sebelah anak kita, baik ketika anak bergembira mahupun semasa si anak sedang berduka dilambung rasa kecewa.

Saya ingatkan diri sendiri dan sekali pembaca bergelar ayah dan ibu, andainya keputusan anak-anak kita tercapai penuh cemerlang, kita raikannya, namun kalau sebaliknya dan tidak sebagaimana yang kita impikan, bawa bertenang dan yakin ada hikmah Allah atas apa yang ditakdirkan itu. Yang penting jiwa tenang perlu kita tunjukkan.

Jadikanlah ayat Allah ini sebagai pedoman kita dalam setiap aspek kehidupan, khususnya semasa kita bertembung dengan babak-babak kehidupan yang mengecewakan hati seperti melihat keputusan SPM si anak tidak secemerlang anak orang yang lain. Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az-Zumar: 53)

Encik Mohd Rizal Azman Bin Rifin

Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: April 2, 2026 @ 6:01am

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti