Kulim: Biarpun tidak sempurna seperti insan lain, ia tidak menghalang Nur Akma Amali Abd Rahaman, 24, untuk cemerlang dalam pelajaran. Graduan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan ini berkata, dia bersyukur menerima Anugerah Ketua Jabatan pada Majlis Konvokesyen ke-16 PTSB selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam tempoh pengajianya di Politeknik berkenaan sejak 2018.
Katanya, disebabkan tidak mampu berjalan selain pertuturannya kurang jelas seperti insan lain, dia perlu berusaha lebih daripada pelajar lain dengan bantuan pensyarah, rakan-rakan dan ibu bapa.
“Ketika belajar saya ada sahabat baik berbangsa India bernama Arathi yang banyak membantu saya dalam pelajaran selain membantu menolak kerusi roda saya. Kami akrab sehingga dia sering ke rumah saya untuk membuat tugasan dan mengulang kaji pelajaran bersama.
“Namun ketika di semester empat pada bulan November 2020 Arathi meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi. Saya sedih dan hilang semangat namun ibu bapa sentiasa memberi kata-kata semangat dan motivasi untuk saya terus belajar,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan di Dewan Mu’adzam Shah, PTSB di sini.
Anak sulung daripada dua beradik ini berkata dia tidak mempunyai sebarang petua khusus untuk belajar kecuali hanya memberi tumpuan ketika berada di dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran selepas pulang dari kelas sehingga tengah malam.
“Saya tidak pernah berasa terasing ketika belajar, prinsip hidup saya mudah, sekiranya orang lain boleh buat, kenapa saya tak boleh,” katanya yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan menjual kerepek dan pelbagai produk lain.
Nur Akma Amali adalah antara 1,110 graduan bagi sesi Disember 2020 dan sesi pertama 2021/2022 yang menerima diploma dalam bidang pengajian masing-masing.
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Pengarah, Adam Mansor, 22, berkata segala penat lelah yang ditanggung sepanjang tiga tahun belajar di PTSB, berbaloi apabila berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.75 dalam bidang Diploma Akauntasi.
“Bapa saya meninggal dunia pada 2019 akibat penyakit tibi. Ketika belajar saya bekerja sambilan di restoran makanan segera dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan untuk menampung perbelanjaan saya di PTSB.
“Saya mula bekerja selepas tamat kelas jam 6 petang hingga 12 malam, jadi ketika di dalam kelas saya perlu beri perhatian sepenuhnya, saya hanya dapat ulang kaji pelajaran selepas pulang bekerja dan tidur kira-kira jam 3 pagi dan bangun jam 6 pagi sebelum bersiap ke kelas sebelum jam 8 pagi, “katanya yang berasal dari Sungai Petani.
Anak ketiga daripada enam beradik ini berkata dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke universiti awam (UA) dan mengejar cita-cita menjadi akauntan.
“Saya mahu mengubah nasib keluarga, sekarang abang dan kakak saya yang banyak membantu kami adik-beradik untuk terus belajar, ibu saya tidak lagi bekerja kerana sakit lutut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PTSB, Mohd Ruzi Hamzah dalam ucapannya, berkata peratus kebolehpasaran graduan PTSB bagi tahun 2022 adalah 95 peratus daripada keseluruhan graduan yang dihasilkan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu 76.8 peratus mendapat pekerjaan manakala 17.8% garaduan lagi memilih untuk menyambung pengajian diperingkat yang lebih tinggi atau meningkatkan kemahiran. Katanya, bermula pada tahun 2006 hingga kini, PTSB telah berjaya melahirkan seramai 20, 986 graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).