KOTA BHARU: Politeknik di seluruh negara menerima kemasukan kira-kira 70 hingga 80 peratus penuntut yang terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pekerja sementara setiap tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, Zainab Ahmad berkata, jumlah purata kemasukan itu direkodkan setiap tahun terutamanya kemasukan pada bulan Ogos.
Menurutnya, ada dalam kalangan penuntut yang menyambung pengajian lewat di politeknik selepas mengambil keputusan untuk mencari pengalaman bekerja bagi mengumpul sejumlah wang terlebih dahulu.
“Politeknik banyak melahirkan penuntut yang berjaya termasuk dalam kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun turut menjejaskan kemasukan pelajar ke politeknik. Kita akui pandemik memberi kesan kepada kemasukan penuntut di semua institusi pendidikan lain dan politeknik juga tidak terkecuali,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu (PKB) Ke-35 di Kompleks Balai Islam Lundang, di sini hari ini.
Zainab memberitahu, pendidikan TVET akan menjadi bidang tumpuan kerana graduan dilihat mampu menggerakkan Keluarga Malaysia menuju masyarakat 5.0 seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
“Politeknik memainkan peranan yang sangat penting dan efisien untuk merealisasikan usaha murni menjadikan TVET yang ke hadapan sebagai bidang tumpuan negara,” ujarnya
UTUSAN MALAYSIA, 9 SEPTEMBER 2022