Berita Harian, 21 September 2023
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Politeknik Kota Kinabalu akan terus menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan projek inovasi yang memberi kesejahteraan kepada penduduk di negeri ini.
Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata kepakaran dimiliki kedua-dua pihak wajar dimanfaatkan bersama ke arah membantu mempermudahkan kehidupan penduduk luar bandar yang masih memerlukan pembangunan.
“Politeknik Kota Kinabalu dalam menjalankan khidmat masyarakat banyak memberi sumbangan berharga dengan menyediakan sistem bekalan air tanpa menimbulkan beban kewangan kepada beberapa perkampungan di Tuaran yang menghadapi masalah itu.
“Saya turut kagum dengan penggunaan teknologi tenaga solar dalam projek berkaitan yang membantu menjayakan bekalan air kepada komuniti,” katanya ketika merasmikan Pusat Pembelajaran Green Pekan Nabalu dan Majlis Penghargaan Program Khidmat Masyarakat Pendawaian Elektrik “Tuaran Asipirasiku” di Politeknik Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pusat itu adalah hasil usaha gigih pelajar dan pensyarah Politeknik Kota Kinabalu dalam menjalankan kerja khidmat masyarakat.
“Saya difahamkan sebanyak 32 rumah, klinik, gereja dan pusat komuniti di Tuaran mendapat manfaat daripada program ini,” katanya yang menyifatkan program seumpama itu sangat penting dalam membantu masyarakat luar bandar.
Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran sehubungan itu, berharap SESB dapat menjalin kerjasama serta kepakaran dengan politeknik itu dalam melaksanakan pelbagai projek inovasi di Sabah.