Keratan Akhbar : 1,445 graduan raih diploma, diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ke-45 POLISAS

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
21 August 2024
KERATAN AKHBAR, SUARA TV

SUARA.TV , 12 Ogos 2024

KUANTAN – Seramai 1,445 graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma telah diraikan pada Majlis Konvokesyen POLISAS ke-45 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, pada Sabtu dan Ahad.

Menerusi satu kenyataan, POLISAS berkata, penganugerahan diploma kali ini merupakan kumpulan yang tamat pengajian pada sesi 2 2022/2023 dan sesi 1 2023/2024.

Menurutnya, jumlah keseluruhan siswazah yang dilahirkan POLISAS sejak 1976 sehingga kini adalah seramai 60,559.

“Konvensyen tahun ini melibatkan Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 387 orang, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (212 orang), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (259 orang), Jabatan Perdagangan (397) dan Jabatan Teknologi Makanan seramai 190 orang.

“Bagi sidang pertama, majlis konvokesyen ini telah disempurnakan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Guai, Dato’ Sabariah Saidan.

“Sidang kedua dan ketiga pula berlangsung pada Ahad yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitumal dan Operasi), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr. Asmadi Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Seikou Systec Sdn.Bhd., Ts. Siew Peng Wah,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), YM Tengku Besaruddin Shah Tengku Yaakob dan Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim.

“Majlis konvokesyen ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang menunjukkan dedikasi dan iltizam seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik & Kokurikulum Politeknik dan Jabatan, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Pengarah Politeknik.

“Buat julung kalinya, konvokesyen pada kali ini telah menobatkan dua penerima Anugerah Pengarah Politeknik, dari program pengajian yang sama iaitu Diploma Senibina, Jabatan Kejuruteraan Awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Syazwan Mohd Yassin dan Muhammad Firdaus Mohamad Fadli, masing-masing berjaya menamatkan pengajian mereka dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.82 dan 3.72.

Mereka berdua turut berjaya meraih Anugerah Ketua Jabatan empat kali berturut-turut di sepanjang tempoh pengajian, bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah turut aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum.

Ahmad Syazwan dilahirkan di Terengganu mendapat pendidikan awal di SK Durian Burung dan di SMK Seri Nilam, kini sedang menyambung pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Bachelor of Science (Hons) Architecture turut menerima Anugerah Tokoh Siswa POLISAS pada 2022.

Manakala, Muhammad Firdaus mula mendapat pendidikan rendah di SK Bandar Tasik Selatan, seterusnya di SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.

Beliau mengisi masa di kampus dengan menyertai pelbagai aktiviti seperti menjadi presiden Kolej Kediaman POLISAS, menyertai Word Skills Malaysia Belia (WSMB) 2022 bidang Landscape Gardening, memenangi gangsa di 5th Digitalised International.

Kini beliau berkhidmat di sebuah Firma Arkitek di Shah Alam turut dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Kolej Kediaman POLISAS 2022, menanamkan minat yang mendalam dalam bidang senibina telah mendorongnya memilih POLISAS sebagai batu loncatan untuk mengejar impian.

Menurut kenyataan itu lagi, Anugerah Khas Industri diberikan pada tahun ini iaitu sumbangan daripada pihak industri dengan jumlah tajaan keseluruhan bernilai RM 413,700 sebagai pengiktirafan kecemerlangan penuntut dalam bidang masing-masing.

“Seramai 9 pelajar daripada Diploma Senibina (DSB), Diploma Kejuruteraan Awam (DKA) dan Diploma Geomatik (DGU) menerima Anugerah Khas Industri daripada Globallab Engineering Sdn Bhd, Hijjaz Kasturi Development, ATSA Architects Sdn. Bhd dan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia.

“Sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang memacu bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diharapkan penganugerahan ini akan menjadi pemangkin kepada graduan lain untuk lebih cemerlang dalam menggilap potensi diri agar mampu bersaing di peringkat global yang serba mencabar, ”ujarnya lagi.

Sementara itu, bersempena dengan majlis konvokesyen ini, gerai-gerai jualan keusahawanan juga turut dibuka bertujuan bagi menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar POLISAS

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti