Malaysia Gazette, 15 Januari 2024
KLUANG – Album gambar yang merakamkan momen-momen bahagia seorang pelajar menjadi kenangan terakhir buat sebuah keluarga yang sedang berduka dengan kehilangan anak sulungnya akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Yang Dipertua MPP Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Muhammad Syamil Ehsan Shahril Amri berkata, album tersebut menyimpan koleksi gambar kenangan mendiang Yuvetha Selvakumar Naidu, 20, sepanjang beliau menuntut ilmu di politeknik tersebut.
“Pada 6 Januari lepas, Yuvetha, seorang pelajar semester 4 Diploma Perniagaan Antarabangsa yang juga Exco Komunikasi dan Korporat MPP PSA terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 62.5 Jalan Batu Pahat – Mersing dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“PSA khususnya MPP PSA telah kehilangan seorang insan yang sangat multi-tasking serta berbakat dalam segala bidang.
“Bagi menghargai jasa dan kenangan bersama, kami menyampaikan sebuah album yang mengandungi kenangan bersama Yuvetha kepada keluarga mendiang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Syamil Ehsan, sebagai tanda prihatin dan rasa kehilangan, pihak pengurusan, para pensyarah dan barisan MPP PSA menziarahi kediaman keluarga mendiang di Kluang, Johor.
Menurutnya, pihaknya turut menyampaikan sumbangan khairat pelajar, sumbangan peribadi, kalungan bunga serta sijil penghargaan kepada mendiang Yuvetha yang diterima ibunya Iswary Subramanian dan bapanya, Selvakumar Naidu Rajamony.
Pada pertemuan tersebut, menurutnya, keluarga Yuvetha masih berduka atas kehilangan anak mereka terutama ibunya yang beberapa kali mengalirkan air mata sewaktu menatap album gambar yang diterimanya. – MalaysiaGazette