Keratan Akhbar : Belia disaran ikuti Program PSH tingkat kemahiran

KOLEJ KOMUNITI BUKIT BERUANG
07 March 2024
Bernama

Melaka 17 Feb (Bernama) – Golongan belia khususnya mereka yang tidak mahu menyambung pembelajaran di peringkat universiti disaran mengikuti program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan di Kolej Komuniti dan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di seluruh negara. Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pendekatan itu membantu golonga belia mendapatkan sijil kemahiran dalam bidang yang mereka minati sekali gus membantu mereka yang mempunyai kemahiran diiktiraf serta dapat meningkatkan taraf ekonomi khususnya menerusi bidang keusahawanan.

“Kita mempunyai pelbagai kursus yang ditawrkan di bawah PSH, terutama melibatkan kursus jangka pendek dan Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sedang giat memperluaskan serta mempromosi program ini. Fokus kita ialah golongan anak muda. Sekarang ini kita agak gusar kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mahu melanjutkan pelajaran selepas tamat Sjil Pelajaran Malaysia (SPM)” , katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas Program Jejak TVET MADANI@POLYCC dan Sesi Lawatan Kerja ke Kolej Komuniti Bukit Beruang di sini. Mustapha berkata program PSH berbentuk kursus jangka pendek yang ditawarkan pada harga minimum khususnya di rangkaian kolej komuniti seluruh negara bertujuan memastikan golongan belia yang tidak mahu menyambung pelajar tidak tercicir. 

“Seperti yang kita sedia maklum, industri gig di negara ini sentiasa berubah yang tidak berubah ialah sijil kemahiran yang diperoleh. Dengan sijil yang diperoleh, golonga belia mudah mendapat pekerjaan serta membuka perniagaan dalam bidang yang diikuti”, katanya. 

Terdahulu, beliau merasmikan Pusat Inkubator Lab X Coffee Lounge yang diusahakan oleh alumni pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang. 


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti