Keratan Akhbar : Bidang TVET mampu lahirkan graduan terlatih, cipta pekerjaan sendiri

POLITEKNIK KOTA KINABALU
29 August 2023
Sabah Media

Sabah Media , 25 Ogos 2023

Kota Kinabalu : Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang merangkumi pengetahuan dan kemahiran teknikal mampu melahirkan graduan yang terlatih, malah berupaya mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun berkata, TVET juga merupakan salah satu pemangkin untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi dan mencapai matlamat negara yang makmur, inklusif dan mampan.

“Menurut laporan Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 91.6 peratus graduan TVET telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat belajar.

“Kursus-kursus TVET ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran mereka dan mendapatkan pengalaman sebenar di industri,”‘katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Minggu Transformasi Siswa Sesi 1 2022/2023 di Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di sini semalam.

Ag Buhtamam berkata, pihaknya percaya PKK sentiasa bersedia untuk mendidik pada pelajar serta mempersiapkan diri bago menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang semakin mencabar.

Katanya, kemahiran yang ada kini perlulah digilap demi memastikan para pelajar tergolong dalam pelajar yang berkemahiran tinggi, proaktif, produktif dan konsisten.

“Kepada semua pelajar, anda sudah melalui proses transformasi daripada seorang pelajar sekolah menengah kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi. Manfaatkan masa sepanjang anda berada di institusi ini, dengan belajar bersungguh-sungguh, menceburi bidang inovasi selaras dengan keperluan semasa industri.

“Saya yakin, dengan persiapan dan pengalaman yang anda kumpul dan lalui sepanjang bergelar mahasiswa dapat mempersiapkan diri anda ke arah pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ag Buhtamam berkara, para pelajar juga merupakan pemimpin muda yang bakal membawa negara kepada kemajuan.

“Jadilah seorang pelajar yang dipenuhi dengan sifat kepimpinan yang tinggi melalui kerjasama kumpulan yang baik, merancang masa anda dengan sebaiknya serta berfikir secara kreatif dan inovatif. Persediaan ini sangat penting untuk anda aplikasikan selepas bergraduasi.

“Anda merupakan masa depan TVET di Malaysia. Oleh itu, anda perlu memperhatikan perkembangan teknologi dan trend industri semasa. Anda harus berusaha dengan gigih untuk memperoleh kemahiran tambahan dan pengalaman untuk memastikan anda kekal relevan dalam industri,”‘katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti