UTUSAN MALAYSIA ONLINE, 2 NOVEMBER 2023
PERMATANG PAUH: Pelajar yang menganggotai pasukan briged bomba di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) diumpamakan seperti ‘duta kecil’ yang mewakili pasukan badan beruniform itu dalam komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, ini kerana mereka boleh memainkan peranan dan tanggungjawab dengan berkesan dalam memberikan kesedaran serta perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan kepada setiap lapisan masyarakat.
Justeru, beliau berharap pelajar yang menganggotai briged bomba itu dapat mengaplikasikan sebaik mungkin apa yang telah dipelajari dalam merealisasikan objektif utama penubuhan pasukan berkenaan khususnya dalam menabur bakti dan budi kepada agama, bangsa dan tanah air.
“Amalan disiplin yang baik, kepimpinan yang berhemah, kepelbagaian pengetahuan serta kemahiran yang telah diterapkan sepanjang tempoh latihan adalah kunci utama dalam merealisasikan sebuah masyarakat yang progresif serta berprestasi tinggi.
“Oleh itu, nilai-nilai murni yang dipelajari sepanjang tempoh latihan ini perlu sentiasa diamalkan agar ia selari dengan hasrat kedua-dua pihak iaitu JBPM dan JPPKK (Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti) ke arah melahirkan siswa dan siswi yang berketerampilan tinggi, berdaya tahan serta berdisiplin tinggi,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Tamat Latihan serta Pentauliahan Briged Bomba Politeknik Malaysia 2023 di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Akademik JPPKK, Mohd. Nor Shahudin.
Pada majlis itu, seramai 214 pelajar dari enam buah politeknik berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Ahli Briged Bomba.
Daripada jumlah itu, 47 pelajar tersebut adalah dari PSP; Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (42); Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kedah (35); Politeknik Nilai, Negeri Sembilan (20); Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor (39) serta Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang (32).
Sementara itu, Mohd. Nor berkata, dengan adanya kerjasama strategik bersama pihak JBPM tersebut secara tidak langsung membantu melonjak serta memberi nilai tambah kepada pelajar laluan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekali gus melayakkan tenaga kerja berkemahiran untuk menerima gaji yang setimpal.
Dalam hal ini, katanya, Politeknik dan Kolej Komuniti atau POLYCC sentiasa membuka ruang yang seluasnya kepada pelbagai pihak untuk berkolaborasi bagi penganjuran program-program pembangunan belia TVET.
“Majlis pentauliahan ini juga akan menjadi titik permulaan buat semua ahli Briged Bomba Politeknik Malaysia, kesiapsiagaan menjadi ‘pengerak balas pertama’ demi memastikan masyarakat dan komuniti dapat menjalani kehidupan yang baik atau lebih baik agar kehidupan diberkati,” ujarnya. – UTUSAN