Keratan Akhbar : Buka stesen kopi! Pelajar Kolej Komuniti Sik santuni tetamu majlis kahwin! Hidang kopi ala kopitiam!

KOLEJ KOMUNITI SIK
11 January 2024
Lain-Lain

Kita Reporters, 27 Disember 2023

SEKUMPULAN pelajar Kolej Komuniti Sik (KKS), Kedah tidak melepaskan peluang untuk mempraktikkan ilmu pengetahuan yang ditimba menerusi Kursus Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan di kolej berkenaan apabila dipelawa menyediakan minuman kopi pada majlis perkahwinan di Kulim, Kedah pada 17 Disember 2023.

Peluang itu juga sebagai menyahut saranan pasangan pengantin baharu iaitu Muhammad Zakwan Mohamad Zakaria dan Wan Nur Isra Kamila Wan Ismail supaya menyediakan menu minuman kopi kepada tetamu jemputan sebagai satu daya tarikan yang diadakan di dewan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim Hi-Tech Park.

Wakil kumpulan pelajar KKSK yang ditemui, Batrisyia Izzah Mohd Suhaimi, berkata mereka berasa teruja apabila dipelawa untuk menyediakan kopi ‘ala kopitiam’ bersama makanan ringan seperti karipap dan popia pada majlis perkahwinan berkenaan yang dianggap sebagai satu cabaran kerana pengantin lelaki merupakan pensyarah di kolej itu.

Menurutnya, pembabitan itu juga ibarat sebagai latihan pratikal bagi mereka semua, ditambah lagi, ini kali pertama berada di lapangan khususnya majlis perkahwinan yang dikunjungi ramai tetamu pelbagai peringkat umur dan bermacam-macam ragam.

Tambahnya, walaupun hanya menyediakan 200 gelas kopi panas dan 200 gelas kopi sejuk sudah cukup memberi cabaran kepada dia dan rakan-rakan apabila terpaksa mempraktikan ilmu yang dipelajari dalam kursus berkenaan terutama menyantuni tetamu dengan bersopan-santun.

“Kami juga terpaksa mengingati semula kaedah yang betul dalam penyediaan makanan termasuklah minuman, menjaga kebersihan bekas digunakan serta persekitaran supaya senang didekati tetamu walaupun terpaksa menunggu kopi disiapkan.

“Sebagai pengalaman baru pembabitan dalam majlis perkahwinan ini juga membuka minda kami untuk berfikir peluang pekerjaan serta cabang perniagaan yang boleh diceburi selepas tamat pengajian nanti,” ujarnya.

Rakan beliau, Muhammad Hazim Elias pula berkata, pembabitan pada majlis itu mendedahkan kepada mereka dalam mengembangkan produk serta proses pemasaran yang boleh dilakukan kerana perkara berkenaan sudah dipraktik secara teori di dalam kelas. 

Menurutnya, pada majlis itu mereka membuka gerai yang diberi nama Stesen Kopi Sik, Unit Keusahawanan KKSK dengan kami semua berada di lapangan bertemu orang ramai iaitu tetamu majlis perkahwinan bagi menikmati minuman kopi yang sudah pasti mengharapkan suatu kelainan.

Jelasnya, sehubungan dengan itu, mereka terpaksa menjaga mutu penyediaan kopi berkenaan supaya rasa tetap original walaupun terpaksa menyediakan minuman panas atau sejuk seperti diminta tetamu yang hadir.

“Semua ini sudah kami pelajari serta praktik di dalam kelas dan yang paling penting penyediaan kopi menepati tahap kebersihannya seperti mesti memakai apron selain kualiti terjamin terutama memberi kepuasan kepada tetamu atau pelanggan yang menikmati,” katanya.

Sementara itu seorang tetamu yang ditemui, Muhammad Ibrahim Mohamed Soid, berkata dia berasa kagum dengan semangat kerjasama pelajar KKSK dalam menyiapkan pesanan kopi serta bijak menyantuni tetamu pada majlis itu.

Menurutnya, walaupun dia turut memiliki mesin membancuh kopi sendiri di rumah namun kopi yang disediakan pelajar berkenaan memang padu rasanya dan ini menunjukkan mereka sudah mempraktikan pengajian yang dilalui di dalam kelas.

“Saya berasakan mereka wajar diberi peluang untuk membuka gerai pada majlis tertentu bukan setakat kenduri perkahwinan supaya dapat melakukan latihan pratikal serta mempelajari ilmu perniagaan disamping cara berkomunikasi dengan pelanggan,” ujarnya. – KitaReporters

 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti