Keratan Akhbar :Bulan Kebangsaan Disambut Penuh Warna-Warni di KKA

KOLEJ KOMUNITI ARAU
30 September 2024
Lain-Lain

Malaysia Aktif, 31 Ogos 2024

ARAU, 31 Ogos – Warga Kolej Komuniti Arau (KKA) bersama komuniti tempatan meraikan Sambutan Bulan Kebangsaaan ke-67 peringkat kolej dengan penuh meriah kelmarin.


Menurut Pengarah KKA Rosnizam Kamis, penglibatan warga kolej, peserta Kayuhan Jiwa Merdeka Bersama Palestin dari PTSS dan Konvoi Merdeka 2024 ke Satun yang disertai oleh Institusi TVET POLYCC Negeri Perak iaitu daripada Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Idris Shah dan Kolej Komuniti Bagan Datuk menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan kali ini.

“Hari ini, pelbagai aktiviti dilaksanakan iaitu Pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Pertandingan Sukan Tradisonal Rakyat Sepak Raga Bulatan, Penyerahan Tabung MyCare kepada Pengarah KKA, Ikrar Rukun Negara, Laungan Merdeka dan Jamuan Perpaduan,” katanya ketika memberikan ucapan penutupan program ini.

“Dengan penganjuran program ini dilihat generasi kini lebih menghargai jasa dan pengorbanan tokoh terdahulu di samping mengukuhkan perpaduan serta menyemai nilai patriotisme dalam diri masing-masing,” katanya.


Laungan Merdeka! yang padu dan kibaran Jalur Gemilang bergema sekitar perarakan bermula dari KKA ke Perkarangan Masjid Ibnu Taimiyyah Tambun Tulang.

Bukan itu sahaja, semua pihak berganding bahu mengadakan aktiviti rewang perpaduan iaitu memasak nasi kawah gulai daging. Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi dan Pengasas Yayasan Pok dan Kassim Mazli Hamdan, Pengarah Penerangan Negeri Perlis Mohd Rahimi Anas Mohd Ali, Pengerusi Masjid Ibnu Taimiyyah Tambun Tulang Arau Muhamad Shukur Hj. Saad dan barisan ahli jawatankuasa masjid, serta Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Tambung Tulang Arau Mohd Faizul Nizam Che Lah.

Sambutan Bulan Kebangsaan ini dapat mengukuhkan rasa kebersamaan, memupuk sikap patriotisme dalam diri dan serta memupuk kesedaran akan pentingnya keamanan dan kestabilan negara selaras dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti