
MYBERITA, 26 April 2024
IPOH – Bakat teknikal dan semangat inovasi dalam kalangan pelajar institusi vokasional terus menyerlah apabila Pasukan AUTOSAS RACING dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) meraih pelbagai kejayaan membanggakan dalam kejohanan Formula Student Malaysia (FSM) 2025 yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor, Perak.
Pasukan yang dianggotai oleh pelajar Kejuruteraan Mekanikal dan Awam ini mempertaruhkan dua buah jentera lumba hasil rekaan sendiri dalam dua kategori utama iaitu Electric Vehicle (EV) dan Formula SAE (FSAE).
Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim berkata, kejayaan ini mencerminkan semangat juang tinggi, kreativiti kejuruteraan dan kerjasama kukuh dalam kalangan ahli pasukan AUTOSAS yang terdiri daripada pelajar-pelajar diploma dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Awam.
“Pertandingan seperti FSM ini sangat berkesan dalam mencungkil bakat pelajar untuk berinovasi dalam bidang pendidikan teknikal, dengan mengaplikasikan ilmu teori secara praktikal dalam pembinaan dan pembuatan automotif. Ia juga memupuk nilai kerja berpasukan serta kepimpinan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan ini turut didorong oleh bimbingan tenaga pengajar dari pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan automotif, rekabentuk (CAD), pendawaian, pengaturcaraan, kimpalan serta pemesinan, selain sokongan kakitangan teknikal yang lain.
Penyertaan dalam kategori EV tahun ini merupakan kali pertama buat POLISAS sejak penglibatan awal mereka dalam perlumbaan kereta formula bermula 2011. Menariknya, walaupun pertama kali bertanding, pasukan tersebut berjaya meraih Tempat Kedua Keseluruhan, Tempat Ketiga Ujian Masa serta Tempat Ketiga dalam Pembentangan Rekaan.
Dalam kategori Formula SAE pula, POLISAS sekali lagi mencuri perhatian apabila bertanding menggunakan jentera 135cc menentang pasukan lain yang menggunakan enjin berkapasiti jauh lebih besar, iaitu sehingga 800cc. Meskipun memiliki keupayaan enjin paling kecil, mereka berjaya meraih Tempat Ketiga Keseluruhan dan Tempat Kedua bagi Ujian Masa, menandingi tujuh pasukan lain.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal POLISAS, Nik Mohd Haikal Mohamed Hasan memaklumkan bahawa pembinaan kedua-dua jentera, satu menggunakan sistem kuasa elektrik (EV) dan satu lagi berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
“Seramai 35 pensyarah dan 21 pelajar terlibat dalam proses tersebut. Kami amat berbangga dengan dedikasi dan pencapaian luar biasa para pelajar kami. Lebih penting daripada kemenangan ialah bagaimana mereka menyelesaikan pelbagai cabaran teknikal dengan pendekatan yang inovatif dan berkesan,” jelasnya.
FSM merupakan pertandingan tahunan yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi teknikal dan vokasional dari seluruh negara untuk mempersembahkan hasil ciptaan pelajar dalam bentuk jentera lumba, yang dinilai berdasarkan reka bentuk, pembentangan teknikal dan prestasi di litar.
Kejayaan POLISAS dalam FSM 2025 menjadi bukti keberkesanan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, malah mampu bersaing secara langsung dalam landskap industri kejuruteraan dan automotif negara.