Keratan Akhbar : GeODex’2023 beri penekanan bidang Ukur Geomatik – Kosmo Digital

POLITEKNIK UNGKU OMAR
29 September 2023
KOSMO

KOSMO, 18 September 2023

IPOH – Hari Terbuka dan Pameran Geomatics 2023 (GeODex’2023) yang dianjurkan Politeknik Ungku Omar (PUO) buat julung kalinya di sini hari ini bermatlamat untuk memperkukuhkan pengetahuan orang ramai dalam bidang Ukur Geomatik.

Pengarahnya, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (Pejuta) serta Jurukur Radian dan Jurukur Makhtar, selain penglibatan alumni PUO dan pemain industri yang lain.

Katanya, dengan bertemakan ‘Surveying with precision, creating with passion’ pameran ini turut mendorong penggunaan teknologi terkini dalam pengukuran dan pemetaan serta mempersiapkan graduan yang kompeten bahkan berdaya keusahawanan.

“Program ini juga menyaksikan pemeterian kerjasama dengan Pejuta meliputi aspek penyediaan tempat untuk latihan industri pelajar dan sangkutan industri untuk pensyarah, perkongsian kepakaran industri sebagai pensyarah pelawat, sumbangan peralatan serta geran penyelidikan.

“GeODex’2023 ini turut menghargai sokongan aktif alumni Geomatik PUO dalam mempromosikan kursus tersebut sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) program latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berprestij,” katanya di sini hari ini.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program tersebut berlangsung seperti pameran peralatan ukur, sesi ceramah oleh Pejuta dan demonstrasi pengendalian dron.

Shamsuri berkata, para pempamer dari pelbagai agensi, termasuk Pusat Hidrografi Negara, Jabatan Mufti Perak, Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara dan beberapa agensi swasta yang terdiri daripada alumni Ukur Geomatik, PUO, turut serta dalam program berkenaan.

“Semoga usaha ini dapat membantu memberikan pencerahan terutamanya kepada pelajar sekolah untuk memilih bidang Ukur Geomatik sebagai pilihan pendidikan tinggi serta laluan kerjaya di masa hadapan.

“Langkah proaktif ini turut merapatkan hubungan antara alumni dan institusi pendidikan tinggi dalam mempromosikan TVET sebagai pilihan utama di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti